E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 219 SOROTAN LITERATUR Evolusi Teknologi dalam Pengurusan Haji dan Umrah Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi telah menjadi pemangkin utama kepada transformasi pengurusan ibadah haji dan umrah. Menurut Shah (2024), integrasi AI dan teknologi pintar telah merevolusikan aspek kawalan kesesakan, logistic serta penyampaian maklumat kepada jemaah. Kajian beliau menegaskan bahawa penggunaan computer vision , komunikasi tanpa wayar dan analitik data besar membolehkan penyusunan aliran manusia berskala mega dengan lebih teratur dan selamat. Selain itu, Felemban et al. (2020) menghuraikan tentang digital revolution dalam pengurusan haji, khususnya dalam aspek crowd management . Aplikasi teknologi pintar bukan sahaja membolehkan ramalan kesesakan tetapi juga meningkatkan respons kecemasan melalui penyediaan maklumat masa nyata. Penemuan ini seiring dengan dapatan Yamin (2015) yang lebih awal menekankan bahawa tanpa penerapan teknologi secara meluas, isu kesesakan dan penyakit berjangkit sukar ditangani pada skala jutaan jemaah. Analisis Keselamatan dan Kawalan Kesesakan Pengurusan keselamatan jemaah menjadi tema dominan dalam literatur. Jabbari (2023) melalui aplikasi machine learning menganalisis pergerakan jemaah sepanjang umrah dan haji. Beliau menunjukkan bahawa sistem ramalan berasaskan AI berupaya mengesan pola pergerakan yang berpotensi mencetuskan rempuhan sekali gus mengurangkan risiko kematian. Dalam konteks Malaysia, Man, Jaafar, dan Musa (2024) meneliti sistem penggiliran haji dari perspektif fiqh istiṭāʿah . Mereka berpendapat bahawa pendekatan penggiliran yang disokong oleh sistem pintar mampu menyeimbangkan prinsip keadilan fiqh dengan keperluan operasi logistik berskala besar. Perbahasan ini menghubungkan integrasi teknologi dengan aspek syariah, menunjukkan bahawa pengurusan haji dan umrah bukan sahaja bersifat teknikal tetapi juga perlu patuh kepada hukum. Aplikasi Digital, Media Sosial dan Komunikasi Masa Nyata Peranan aplikasi digital dan media sosial juga ditekankan dalam literatur terkini. Ayyasy, Ahmad, dan Maulana (2024) menegaskan bahawa penggunaan media sosial memberi kesan langsung kepada pengurusan risiko, penyebaran maklumat, dan interaksi dengan jemaah. Begitu juga Hazieq, Hamro, dan Hafiz (2024) yang melihat media sosial sebagai saluran pendidikan dan penyampaian informasi namun dalam masa yang sama mengingatkan tentang potensi penularan maklumat salah. Rosalina dan Syahir (2023) pula membangunkan sistem maklumat berasaskan web untuk meningkatkan operasi agensi pelancongan haji dan umrah. Dapatan mereka membuktikan bahawa integrasi sistem maklumat dalam talian bukan sahaja mempercepatkan urusan pendaftaran tetapi turut meningkatkan kepuasan pengguna. Transformasi Pendidikan Haji melalui Teknologi Maya Inovasi pendidikan ibadah haji turut menjadi fokus penting dalam literatur. Abidin et al. (2022) membangunkan Virtual Hajj , iaitu persekitaran maya interaktif untuk memberi latihan awal kepada jemaah. Teknologi realiti maya (VR) ini membolehkan pengguna memahami tatacara ibadah secara simulatif sebelum ke Tanah Suci. Sementara itu, Madani, Taqiyuddin, dan Santoso (2023) menekankan bahawa sistem pengurusan pendaftaran haji di KBIH Badrul Munir yang berasaskan teknologi maklumat (IT) telah meningkatkan keberkesanan operasi serta mengurangkan kesilapan manual. Kajian-kajian ini menunjukkan bahawa teknologi pendidikan dan pengurusan saling melengkapi, di mana VR memberi nilai tambah kepada bimbingan fiqh, manakala IT memperkukuh operasi pentadbiran.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=