E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 207 Dalam keadaan sebegini, sifat sabar menjadi mekanisme penting yang menentukan ketahanan emosi, keselarasan sosial dan kelancaran pengurusan ibadah. Allah SWT berfirman: َيَا أَيهَا الذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصبْرِ وَالصلًَةِ إِن اللََّ مَعَ الصابِرِين “Wahai orang -orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat; sesungguhnya Allah bersama orang- orang yang sabar.” (al-Baqarah, 2:153). Ayat ini menjadi sandaran utama bahawa sabar adalah prinsip asas dalam menghadapi cabaran, termasuk dalam ibadah haji. Rasulullah SAW turut menegaskan bahawa: ٍالْحَج جِهَادُ كُلِ ضَعِيف “Haji adalah jihad bagi setiap orang yang lemah.” (Riwayat Ibn Majah, no. 2902). Hadis ini memberi gambaran bahawa haji merupakan medan pengorbanan dan latihan kesabaran yang memerlukan kekuatan dalaman, walaupun tanpa penglibatan dalam peperangan. Bagi jemaah, sabar diperlukan untuk menghadapi ujian fizikal seperti kepenatan, kesesakan, dan keterbatasan pergerakan. Sabar juga penting dalam mengawal emosi ketika berhadapan kerenah sesama jemaah yang datang daripada pelbagai latar usia, latar pendidikan dan tahap kesihatan. Bagi petugas pula, sabar menjadi asas profesionalisme dalam melayani kerenah jemaah, mengurus jadual pergerakan, mengawal logistik yang kompleks serta memastikan segala rukun dan wajib haji dapat dilaksanakan dengan sempurna (Hassan & Ghani, 2022). Dalam tradisi tasawuf, sabar bukan sahaja dilihat sebagai sifat akhlak, tetapi maqam (tingkatan kerohanian) yang membimbing seseorang untuk mencapai redha, tawakkal, qana‘ah dan mahabbah kepada Allah SWT. Al-Ghazali (2000) menyatakan bahawa sabar adalah separuh daripada iman, manakala separuh lagi adalah syukur. Ibn Qayyim al-Jawziyyah (1997) pula menegaskan bahawa sabar adalah pintu kepada maqam kerohanian yang lebih tinggi seperti redha dan tawakkal. Oleh itu, sabar dalam ibadah haji bukan hanya mekanisme psikologi, tetapi juga latihan kerohanian yang menjadikan haji sebagai madrasah tarbiah insan. Berdasarkan kerangka ini, kajian ini menumpukan kepada tiga objektif utama: 1. Meneliti peranan sabar sebagai mekanisme menghadapi mehnah dan kerenah haji. 2. Mengenal pasti hikmah sabar dalam memperkukuh ketahanan emosi, spiritual dan sosial jemaah serta petugas. 3. Menilai kepentingan sabar sebagai asas pengurusan haji yang harmoni dan berteraskan tasawuf. Melalui objektif ini, kajian diharapkan dapat memberi sumbangan kepada peningkatan kualiti pengurusan haji di Malaysia dengan menekankan nilai sabar sebagai teras pengurusan spiritual dan sosial. Secara tidak langsung, ia turut menghubungkan dimensi pengurusan moden dengan hikmah tasawuf yang memberi makna mendalam terhadap seluruh pengalaman ibadah haji. SOROTAN LITERATUR Konsep Sabar dalam Islam Sabar merupakan salah satu nilai teras dalam ajaran Islam yang disebut lebih daripada 70 kali dalam al- Quran, yang menunjukkan betapa pentingnya ia sebagai prinsip hidup seorang Muslim. Allah SWT berfirman: ٍإِنمَا يُوَفى ٱلصـَبِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَاب “Sesungguhnya hanya orang - orang yang bersabarlah diberikan pahala mereka tanpa batas.” (al-Zumar, 39:10).
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=