E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 206 Hikmah Sabar Dalam Menangani Mehnah Dan Kerenah Haji Siti Norhana Abu Hamis ( Corresponding Author ), Nor Kartina Tawang , Norsila Jamal , Noor Hadayah Ahmad , Yusnah Yusuf PEKTA Kanan Tabung Haji Emel : hana3883@gmail.com, ABSTRAK Ibadah haji merupakan kemuncak dalam rukun Islam kelima yang menuntut kekuatan fizikal, mental dan spiritual secara serentak. Pelaksanaannya yang melibatkan jutaan umat Islam dari pelbagai latar belakang menjadikan ibadah ini penuh dengan mehnah (ujian) serta kerenah yang datang daripada faktor individu, logistik, persekitaran dan birokrasi pengurusan. Justeru, sifat sabar menjadi hikmah yang sangat signifikan bagi memastikan kelancaran perjalanan haji, sama ada dari perspektif jemaah, petugas mahupun pihak pengurusan. Objektif kajian ini adalah untuk meneliti peranan sabar sebagai mekanisme menghadapi mehnah dan kerenah dalam ibadah haji, mengenal pasti hikmah sabar dalam memperkukuh ketahanan emosi, spiritual dan sosial jemaah serta petugas haji, serta menilai kepentingan sabar sebagai asas kepada pengurusan haji yang lebih berkesan, harmoni dan berteraskan tasawuf. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis teks al-Quran, hadis, pengalaman amalan para ulama serta pemerhatian semasa pelaksanaan ibadah haji untuk memahami peranan sabar dalam menghadapi cabaran. Dapatan kajian menegaskan bahawa sabar berfungsi sebagai mekanisme ketahanan emosi dan psikologi bagi jemaah yang berdepan dengan kepenatan, kesesakan, kerenah sesama jemaah serta peraturan yang ketat. Dari perspektif tasawuf, sabar bukan sahaja dilihat sebagai sikap menahan diri, bahkan merupakan maqam kerohanian yang melatih hati untuk mencapai tahap redha, qana‘ah, tawakkal dan mahabbah kepada Allah SWT. Bagi para petugas dan agensi haji pula, sabar menjadi asas kepada toleransi, empati, profesionalisme dan keikhlasan dalam berkhidmat, sekali gus mengurangkan konflik, memperkukuh ukhuwah Islamiah dan meningkatkan keberkesanan pengurusan. Secara keseluruhan, sabar bukan sekadar tuntutan akhlak peribadi tetapi juga instrumen sosial, pengurusan dan latihan tasawuf yang mampu mengurangkan tekanan, memurnikan jiwa, meningkatkan keberkatan ibadah serta menjadikan haji sebagai madrasah tarbiah insan menuju kesempurnaan maqasid syariah Islamiah yang syumul dengan ibrah dan hikmah. Katakunci: Hikmah, Sabar, Mehnah, Kerenah, Haji. PENDAHULUAN Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang beristito‘ah dari segi fizikal, mental, kewangan dan keselamatan. Haji bukan sekadar perjalanan ritual, tetapi sebuah pengembaraan rohani, sosial dan emosi yang sarat dengan ujian. Firman Allah SWT: ِوَأَتِموا الْحَج وَالْعُمْرَةَ لِلِّ “Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah...” (al-Baqarah, 2:196). Ayat ini menegaskan bahawa haji adalah ibadah agung yang mesti ditunaikan dengan penuh kesempurnaan dan pengabdian kepada Allah SWT. Namun, realiti pelaksanaan haji pada zaman moden memperlihatkan pelbagai cabaran yang kompleks. Himpunan jutaan umat Islam dari pelbagai latar belakang bangsa, bahasa, budaya dan usia di satu lokasi yang sama mengakibatkan pelbagai mehnah (ujian) serta kerenah yang tidak dapat dielakkan. Antara cabaran utama termasuklah kesesakan di tempat ibadah, cuaca yang ekstrem, isu kesihatan, perbezaan budaya, kerenah individu, kekangan logistik serta birokrasi pengurusan (Abdul Karim, 2018).
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=