E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 155 mengamalkan pengambilan dana daripada pendeposit berasaskan Wakalah. Dalam kerangka ini, TH bertindak sebagai wakil (wakil) untuk menguruskan pelaburan bakal jemaah haji yang bertindak sebagai pemberi kuasa (muwakkil). Hubungan kontrak ini dimeterai apabila penyimpan menandatangani dokumen Wakalah dengan TH. Melalui kontrak ini, kuasa diberikan kepada TH untuk melaburkan deposit yang diamanahkan. Berdasarkan pewakilan kuasa inilah, TH dapat mengumpul simpanan daripada orang ramai dan seterusnya menggerakkan dana tersebut dengan melaburkannya ke dalam pelbagai projek yang diluluskan (Bank Negara Malaysia, 2016). Bagi menguruskan pendeposit yang ingin menunaikan ibadah haji, TH telah memperkenalkan sistem pendaftaran haji terbuka berdasarkan konsep “Mendaftar Dahulu, Didahulukan” sejak dari tahun 1995. Syarat pendaftaran haji yang dibuat memerlukan pendeposit yang mempunyai baki minimum dalam akaun TH sebanyak RM1,300.00. Oleh yang demikian, pendeposit TH yang telah mendaftar haji akan diperuntukkan tahun untuk menunaikan ibadah haji berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji dibuat (Tabung Haji, 2025). Di samping itu, TH juga melaksanakan strategi pengagihan keuntungan (hibah) pada setiap tahun hasil daripada pelaburan dalam sektor halal. Hibah ini menambah nilai simpanan bakal jemaah, sekali gus meringankan beban kos haji yang semakin meningkat. Tambahan pula, subsidi kos haji yang disalurkan oleh TH membolehkan jemaah Malaysia membayar kadar lebih rendah berbanding kos sebenar. Justeru, peranan ini menegaskan bahawa TH sebagai sebuah institusi kewangan Islambukan sahaja berfungsi sebagai tempat simpanan, tetapi turut menyelaras pengurusan kos haji, meringankan beban kewangan jemaah, serta menjamin kesinambungan dana umat Islam, sejajar dengan tuntutan maqāṣid syarī‘ah dalam menjaga agama ( ḥifẓ al- dīn) dan harta ( ḥifẓ al - māl). CABARAN SEMASA KEMAMPUAN KEWANGAN DALAM IBADAH HAJI Kemampuan kewangan merupakan asas utama dalam menentukan kelayakan seseorang menunaikan ibadah haji sebagaimana yang ditetapkan syarak. Namun, dalam konteks semasa, aspek ini berhadapan dengan pelbagai cabaran yang kompleks, termasuk kenaikan kos yang berterusan, tahap simpanan pendeposit yang tidak mencukupi, serta pergantungan yang tinggi terhadap subsidi. Faktor-faktor sosio-ekonomi, ketidakstabilan ekonomi global, dan kelemahan perancangan kewangan individu turut memperlihatkan bahawa isu kewangan bukan sekadar soal teknikal, tetapi men jadi penentu utama sejauh mana umat Islam dapat memenuhi tuntutan istita‘ah untuk berangkat ke tanah suci. Pertama: Kenaikan kos haji Kenaikan kos haji merupakan salah satu cabaran utama dalam aspek kemampuan kewangan umat Islam. Faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini termasuklah penyesuaian kadar cukai dan caj perkhidmatan oleh Kerajaan Arab Saudi, pembangunan infrastruktur baharu di Tanah Haram, serta peningkatan kos logistik seperti penerbangan, penginapan dan pengangkutan darat. Trend kenaikan ini berlaku hampir setiap tahun dan memberi kesan langsung kepada kemampuan bakal jemaah, khususnya mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Data menunjukkan bahawa kos menunaikan haji bagi rakyat Malaysia meningkat daripada RM9,980 pada tahun 2014 kepada RM12,980 pada tahun 2024, selari dengan faktor inflasi dan pertambahan caj perkhidmatan (Bernama, Astro Awani, 2022). Perkembangan ini membuktikan bahawa perancangan kewangan jangka panjang adalah kritikal agar umat Islam benar-benar dapat memenuhi syarat istiṭā‘ah kewangan untuk menunaikan ibadah haji. Kedua: Pergantungan Terhadap Subsidi Subsidi HAFIS ialah bantuan kewangan haji bersasar yang disediakan oleh Tabung Haji bagi meringankan beban kos sebenar haji yang ditanggung oleh bakal jemaah. Istilah HAFIS merujuk kepada Haji Financial Support, iaitu bentuk tanggungan sebahagian kos oleh TH agar bayaran yang dikenakan kepada jemaah lebih rendah daripada kos sebenar. Pelaksanaannya hasil daripada keuntungan pelaburan TH yang diuruskan secara berlandaskan prinsip syariah. Dana keuntungan diagihkan bukan hanya dalam bentuk hibah tahunan, tetapi sebahagiannya digunakan bagi mengurangkan kos menunaikan haji. Melalui HAFIS, jemaah hanya membayar sebahagian kecil daripada kos sebenar. Misalnya, pada tahun 2024, kos sebenar menunaikan haji dianggarkan sekitar RM30,850, tetapi jemaah muassasah hanya perlu membayar RM12,980. Selebihnya ditanggung oleh TH melalui skim subsidi HAFIS. (BH, 2023). Subsidi yang tinggi membolehkan jemaah Malaysia menunaikan haji dengan kadar bayaran lebih rendah berbanding negara lain.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=