E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 152 keperluan kepada kefahaman yang jelas tentang konsep kewangan sebagai asas istiṭā‘ah amat penting bagi menilai sejauh mana umat Islam hari ini dapat memenuhi tuntutan agama ini secara menyeluruh. Penggunaan perkataan “teras” dalam tajuk ini membawa maksud asas, inti, dan landasan utama. Dari segi bahasa, teras merujuk kepada sesuatu yang menjadi tunjang atau paksi kepada keseluruhan struktur (Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2005). (Wan Mohd Nor, 1998) turut menjelaskan bahawa teras merujuk kepada prinsip asas yang mengandungi nilai dan makna paling penting dalam sesuatu konsep. Ia menjadi asas panduan, tanpa mana sesuatu sistem akan kehilangan arah dan maknanya. Menurut (Syed Muhammad Naquid al-Attas, 1978) teras dalam konteks ilmu ialah asas yang bersifat tetap dan tidak berubah, yang membezakan antara ilmu yang benar dan ilmu yang bercampur aduk dengan unsur-unsur yang merosakkan. Manakala (Ishak, 2015) menyatakan bahawa teras merujuk kepada “core values” atau nilai utama sesebuah organisasi yang menentukan hala tuju serta membimbing pelaksanaan polisi dan strategi. Apabila kewangan dinyatakan sebagai teras, ia menggambarkan bahawa seluruh pelaksanaan ibadah haji berpaksi kepada kestabilan dan kemampuan ekonomi seseorang. Hal ini bermaksud, aspek kesihatan, keselamatan, serta peraturan mendapatkan kuota hanya dapat direalisasikan setelah syarat kewangan dipenuhi. Sebagai contoh, untuk mendapatkan tiket penerbangan, penginapan, makanan, dan bimbingan manasik, seseorang perlu memiliki dana yang mencukupi. Malah, kewangan juga meliputi tanggungjawab menyediakan nafkah keluarga yang ditinggalkan, sebagaimana yang disyaratkan oleh fuqaha’ supaya tidak berlaku pengabaian hak ahli keluarga sepanjang ketiadaan seseorang yang menunaikan haji. Lebih daripada itu, kewangan sebagai teras utama mempunyai implikasi yang lebih luas dari sudut sosioekonomi umat Islam. Kenaikan kos haji yang saban tahun meningkat memberi kesan langsung terhadap kemampuan jemaah, terutamanya dari kalangan berpendapatan sederhana dan rendah. Di Malaysia, peranan institusi seperti Tabung Haji(TH) sangat signifikan dalammenyediakan kemudahan simpanan, subsidi kos, serta pengurusan kewangan bagi membantu umat Islam mencapai kelayakan istiṭā‘ah . Justeru, apabila perkataan teras digunakan dalam kajian ini, ia menegaskan fokus terhadap bagaimana aspek kewangan menjadi paksi utama, bukan sekadar faktor sampingan. Dengan kata lain, tanpa kemampuan kewangan, ibadah haji hanya tinggal sebagai kewajipan yang belum dapat ditunaikan, walaupun syarat-syarat lain sudah tersedia. Maka, kertas kerja ini bertujuan untuk membincangkan kewangan sebagai faktor utama dalam penentuan istiṭā‘ah haji. Fokus diberikan kepada konsep kewangan dalam perspektif syariah, peranan institusi kewangan Islam khususnya TH, serta cabaran dan implikasi kos haji yang sentiasa berubah mengikut perkembangan ekonomi global. Huraian ini diharapkan dapat memberikan pencerahan tentang kedudukan kewangan sebagai tonggak utama dalam memastikan kelayakan dan kesempurnaan ibadah haji, seterusnya membantu umat Islam melakukan perancangan kewangan yang lebih berkesan. SOROTAN LITERATUR Konsep istiṭā’ah dalam ibadah haji berasaskan firman Allah SWT dalam Surah Ali- ‘Imran pada ayat ke - 97: “ Dan (kewajipan) manusia terhadap Allah ialah mengerjakan haji ke Baitullah, iaitu bagi orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana. ” Para mufassir seperti al - Ṭabari dan al -Qurtubi menafsirkan istiṭā’ah sebagai kemampuan yang merangkumi kekuatan tubuh badan, keselamatan jalan, serta kecukupan bekalan harta. Hadis Nabi SAW juga menekankan aspek kewangan apabila baginda menyatakan bahawa kewajipan haji hanya ditanggung oleh orang yang mempunyai bekalan dan kenderaan ( al- zād wa al - rāhilah ), yang dalam konteks semasa boleh ditafsirkan sebagai sumber kewangan yang mencukupi untuk perjalanan haji. Dalam perbahasan fuqaha, istiṭā’ah sering dihubungkan dengan kewangan. Menurut mazhab al- Syafi‘i, istiṭā’ah bermaksud memiliki bekalan dan kenderaan yang mencukupi untuk sampai ke Tanah Haram serta kembali ke tanah air. Ibn Qudamah dalam al-Mughni menegaskan bahawa seseorang yang tidak mempunyai harta atau perbelanjaan yang cukup untuk dirinya dan ahli keluarganya dianggap belum mencapai istiṭā’ah . Hal ini menunjukkan kewangan merupakan faktor utama sebelum aspek lain dipertimbangkan. Terdapat juga kajian kontemporari yang menyoroti aspek kewangan sebagai syarat penentu kelayakan haji.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=