E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 151 KEMAMPUAN KEWANGAN SEBAGAI TERAS ISTIṬĀ’AH DALAM IBADAH HAJI Lokman Musa ( Corresponding author ) , Sa’adan Man , Syed Mohd Jeffri Syed Jaafar Department of Fiqh and Usul, Academy of Islamic Studies, University of Malaya. Emel: lokmanmusa79@gmail.com, ABSTRAK Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang diwajibkan kepada setiap muslim yang memiliki kemampuan atau istiṭā‘ah . Antara komponen utama istiṭā‘ah yang digariskan syariah ialah kemampuan kewangan ( istiṭā‘ah maliyyah ), iaitu keupayaan menyediakan perbelanjaan secukupnya bagi menunaikan haji tanpa membebankan diri atau meninggalkan ahli keluarga dalam kesempitan. Kemampuan kewangan bukan sahaja merujuk kepada kos perjalanan, penginapan dan ibadah di tanah suci, tetapi juga melibatkan kestabilan ekonomi selepas pulang dari mengerjakan haji. Justeru, ia menjadi asas penting dalam memastikan ibadah haji dapat dilaksanakan dengan sempurna dan bebas daripada unsur kemudaratan. Kajian ini membincangkan konsep kemampuan kewangan sebagai teras istiṭā‘ah dengan meneliti dalil-dalil syarak, pandangan fuqaha serta aplikasinya dalam konteks kontemporari. Analisis turut menyorot peranan institusi kewangan Islam seperti Tabung Haji yang menyediakan mekanisme simpanan, pengurusan kos dan subsidi bagi membantu umat Islam Malaysia mencapai kelayakan kewangan untuk menunaikan haji. Di samping itu, isu-isu semasa seperti kenaikan kos haji, pergantungan terhadap subsidi, dan cabaran sosio- ekonomi masyarakat turut diketengahkan sebagai faktor yang mempengaruhi tahap kemampuan kewangan bakal jemaah. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui rekabentuk kajian analisis kandungan dan dokumen. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kemampuan kewangan adalah prasyarat yang bukan sahaja bersifat teknikal, tetapi juga menzahirkan keseimbangan antara tuntutan ibadah dan tanggungjawab sosial bagi memastikan pelaksanaan ibadah haji dilakukan dengan sempurna, tenang, dan selari dengan maqasid syariah. Katakunci: Istita‘ah , Kewangan, Ibadah Haji, Tabung Haji, Maqasid Syariah PENDAHULUAN Ibadah haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap muslim yang berkemampuan sekali seumur hidup. Kewajipan ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surahAli- ‘Imrān pada ayat ke-97 yang menegaskan bahawa ibadah haji adalah kewajipan bagi umat Islam yang ber istiṭā‘ah, iaitu berkemampuan dari sudut tertentu. Para ulama’ menafsirkan istiṭā‘ah sebagai kemampuan yang merangkumi beberapa aspek utama, antaranya kesihatan jasmani, keselamatan dalam perjalanan, ketersediaan mendapatkan kuota, dan yang paling penting ialah kemampuan kewangan. Tanpa keupayaan kewangan, seseorang muslim tidak dapat melaksanakan ibadah haji meskipun memiliki kekuatan fizikal dan memperolehi kuota giliran serta keinginan yang tinggi. Dalam konteks pelaksanaan ibadah haji di Malaysia, faktor kewangan memainkan peranan paling dominan kerana kos haji yang semakin meningkat dari semasa ke semasa. Keadaan ini menuntut perancangan kewangan yang rapi, khususnya melalui instrumen simpanan dan pengurusan ekonomi yang disediakan oleh institusi kewangan Islam seperti Lembaga Tabung Haji. Di sinilah kewangan berfungsi sebagai asas utama istiṭā‘ah , kerana ia menjadi prasyarat untuk membiayai segala perkara termasuk tambang perjalanan, penginapan, makan minum, serta pelbagai kos lain yang berkaitan dengan pelaksanaan haji. Selain itu, perbahasan mengenai kewangan dalam konteks istiṭā‘ah juga berkait rapat dengan isu keadilan masyarakat dan kemampuan umat Islam daripada pelbagai lapisan masyarakat. Terdapat sebahagian besar umat Islam yang berhasrat untuk menunaikan haji, tetapi tidak dapat melakukannya kerana kekangan kewangan. Justeru,
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=