E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 115 cabaran dari segi kesahihan maklumat. Tidak semua individu yang menghasilkan kandungan mempunyai autoriti atau kepakaran dalam bidang fiqh haji, menyebabkan wujud risiko penyebaran maklumat yang tidak lengkap atau kurang tepat (Hasanah, 2021). Secara keseluruhannya, analisis ini mengesahkan bahawa TikTok berfungsi sebagai medium yang lebih efektif apabila digerakkan oleh perseorangan berbanding institusi komersial. Namun, bagi memastikan maklumat yang disampaikan benar-benar sahih dan berpandukan autoriti agama, wujud keperluan agar institusi rasmi seperti Tabung Haji lebih proaktif dalam menghasilkan kandungan digital yang relevan, ringkas, dan sesuai dengan citarasa audiens generasi muda (Khadijah et al., 2022). Dengan itu, TikTok dapat dimanfaatkan secara optimum sebagai medium pelengkap kepada bimbingan haji bersemuka. 4.3 Perbincangan Dapatan kajian lepas jelas menunjukkan bahawa fenomena dakwah digital melalui TikTok telah memberi kesan yang signifikan terhadap kefahaman umat Islam mengenai ibadat haji. Penemuan Mohd Shukor (2023), Sari (2020), Sugiyanti (2020) dan Rahman (2021) mengesahkan bahawa pendekatan visual dan interaktif sangat membantu jamaah memahami konsep ibadat yang kompleks. Hal ini seiring dengan prinsip pembelajaran moden yang menekankan penggunaan multimedia untuk meningkatkan penguasaan ilmu. Dalam konteks TikTok, ciri-ciri uniknya seperti video pendek, paparan visual yang ringkas, serta interaktiviti dengan audiens membolehkan penyampaian mesej dakwah dilakukan secara padat dan mudah difahami. Oleh itu, fenomena ini memperlihatkan bahawa media sosial, khususnya TikTok, boleh mencorakkan pemahaman ibadat haji dengan cara yang lebih inklusif, sesuai dengan keperluan pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan muda dan komuniti OKU. Walaupun begitu, kedudukan TikTok dalam bimbingan haji lebih sesuai difahami sebagai pelengkap dan bukan pengganti sepenuhnya kepada kaedah tradisional. Dapatan kajian menunjukkan bahawa walaupun teknologi digital mampu menjelaskan teori dan simulasi ibadat, aspek praktikal ibadat haji seperti pergerakan tawaf, sa‘i dan wukuf tetap memerlukan latihan langsung serta bimbingan daripada pembimbing berautoriti. Pandangan ini sejajar dengan penegasan Rahman (2021) yang mendapati bahawa bimbingan digital tidak boleh berdiri sendiri, sebaliknya berfungsi menyokong proses pembelajaran bersemuka. Sementara itu, isu autoriti agama dalam ruang digital menimbulkan cabaran yang serius. Bunt (2018) menegaskan bahawa transformasi ruang siber telah mengubah hierarki autoriti agama, di mana sesiapa sahaja boleh muncul sebagai penyampai ilmu. Walaupun fenomena ini membuka ruang kreativiti dan capaian dakwah yang lebih luas, ia juga menimbulkan risiko penyebaran maklumat yang tidak sahih. Dalam konteks bimbingan haji, risiko ini lebih kritikal kerana kesilapan dalam memahami tatacara ibadat boleh membawa implikasi terhadap kesahihan amalan. Oleh itu, peranan institusi berautoriti seperti Tabung Haji sangat penting untuk mengawal, menyelia dan membimbing kandungan dakwah digital di TikTok agar ia menepati prinsip syariah. Akhirnya, penggunaan TikTok sebagai medium dakwah digital memperlihatkan bagaimana generasi muda khususnya generasi Z, lebih cenderung kepada pembelajaran berasaskan media sosial berbanding kaedah konvensional. Kajian Nurhaliza (2021) dan Rahmawati (2022) menunjukkan bahawa golongan ini mendapat manfaat positif daripada penggunaan media sosial, tetapi juga berdepan risiko seperti kecanduan dan pengaruh negatif. Implikasi bagi bimbingan haji ialah, kandungan dakwah yang dihasilkan di TikTok perlu bersaing dengan kandungan hiburan popular, sekali gus menuntut pendakwah menghasilkan mesej yang lebih kreatif, ringkas, dan mudah difahami agar terus relevan dengan audiens muda. Jadual 1 menunjukkan kesimpulan dapatan kajian berkenaan potensi dan cabaran TikTok sebagai medium dakwah kepada umat Islam terutama generasi muda.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=