E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 113 agama melalui platform seperti YouTube, Instagram, atau TikTok. Keadaan ini menghakis model tradisional autoriti agama yang biasanya berpusat kepada institusi rasmi atau tokoh ulama bertauliah. Dalam konteks TikTok, fenomena ini bermakna pengguna biasa yang memiliki kemahiran komunikasi dan kreativiti boleh tampil sebagai penyampai ilmu agama, walaupun tanpa kelayakan formal. Fenomena ini mempunyai dua implikasi besar terhadap bimbingan haji. Pertama, ia membuka ruang dakwah yang lebih luas dan demokratik, membolehkan mesej agama disampaikan secara kreatif dan mudah diakses oleh masyarakat. Namun, pada masa yang sama, ia mewujudkan risiko penyebaran maklumat yang tidak sahih, terutamanya apabila kandungan yang dikongsi tidak dipantau oleh institusi berautoriti seperti Tabung Haji. Hal ini boleh menjejaskan kefahaman jamaah tentang ibadat haji yang memerlukan ketelitian syariah dan panduan praktikal yang betul. Oleh itu, keberkesanan TikTok sebagai medium bimbingan haji sangat bergantung pada peranan institusi agama dalam mengawal, mengesahkan, dan membimbing kandungan dakwah digital agar ia kekal sahih dan berlandaskan syariah. 4.2.5 Analisis Kandungan Video TikTok Kajian awal terhadap 50 video pertama dengan kata kunci “bimbingan haji dan umrah” serta “rukun haji dan umrah” di platform TikTok mendapati bahawa majoriti kandungan yang dipaparkan dihasilkan oleh akaun individu berbanding oleh mutawif atau institusi agama berautoriti. Penyertaan individu lebih banyak berbentuk perkongsian pengalaman peribadi, naratif rohani, atau testimoni ringkas. Kandungan seperti ini mempunyai nilai motivasi dan inspirasi kepada audiens, namun ia tidak menjamin kesahihan dari sudut hukum dan tatacara ibadat. Hal ini sejajar dengan fenomena dakwah digital yang dibincangkan dalam literatur terdahulu, iaitu media sosial membolehkan sesiapa sahaja menyampaikan mesej agama tanpa sempadan autoriti yang jelas (Bunt, 2018; Hasanah, 2021). Keadaan ini sekaligus mewujudkan risiko penularan maklumat separa sahih atau tidak lengkap mengenai rukun dan syarat sah ibadat haji. Dapatan ini memberi gambaran bahawa TikTok, pada tahap semasa, lebih berfungsi sebagai ruang promosi dan perkongsian pengalaman berbanding sebagai medium rasmi bimbingan haji. Walaupun keberadaannya mampu menarik perhatian generasi muda yang cenderung kepada pembelajaran visual dan interaktif (Nurhaliza, 2021; Hussain et al., 2024), ia tidak dapat menggantikan bimbingan formal yang ditawarkan oleh institusi agama. Sebaliknya, dapatan ini menyokong pandangan bahawa TikTok lebih sesuai berperanan sebagai pelengkap kepada kursus bersemuka, dengan syarat kandungan yang dihasilkan adalah sahih, dikawal selia, dan berlandaskan syariat Islam (Khadijah et al., 2022). Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa masih wujud keperluan mendesak bagi institusi agama seperti Tabung Haji, syarikat travel haji dan umrah serta mutawif berpengalaman untuk lebih aktif menghasilkan kandungan rasmi di TikTok berkenaan ibadah haji dan umrah. Langkah ini penting bagi memastikan ruang digital tidak hanya dikuasai oleh individu awam tetapi turut menampilkan bimbingan ibadat yang berpaksikan autoriti agama yang diiktiraf. Dengan cara ini, kredibiliti maklumat dapat dipelihara, sementara daya tarikan visual dan capaian luas TikTok dapat dimanfaatkan untuk memperkukuh kefahaman umat Islam mengenai ibadat haji dan umrah. Selain itu, analisis terhadap 20 video TikTok pertama yang diperoleh melalui dua kata kunci carian iaitu “wajib haji dan umrah” serta “rukun haji dan umrah” menunjukkan perbezaan pola yang jelas antara akaun perseorangan dengan akaun syarikat travel. Bagi kata kunci “wajib haji dan umrah”, enam akaun dikenal pasti dimiliki oleh perseorangan (W1, W4, W5, W6, W7, W8, W10), manakala tiga akaun jelas berafiliasi dengan syarikat travel (W2, W3, W9). Walaupun akaun syarikat travel menghasilkan kandungan berbentuk promosi dan pendidikan, capaian tontonan yang diterima agak sederhana, misalnya sekitar 1,560 tontonan bagi W3 dan 2,438 tontonan bagi W9. Sebaliknya, akaun perseorangan memperoleh capaian jauh lebih tinggi, contohnya W5 dengan 32 ribu tontonan dan W10 dengan 29.9 ribu tontonan. Dapatan ini menunjukkan bahawa kandungan daripada individu lebih mudah mendapat perhatian audiens TikTok berbanding kandungan yang berunsur promosi daripada agensi pelancongan.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=