E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 110 Secara keseluruhan, penerimaan masyarakat terhadap dakwah digital memperlihatkan kecenderungan positif dari segi capaian dan keterbukaan, namun masih berhadapan dengan cabaran kesahihan, kredibiliti, dan pengawalan kandungan. Oleh itu, tahap penerimaan yang tinggi perlu diimbangi dengan usaha meningkatkan kualiti dakwah digital serta kesedaran masyarakat untuk menjadi pengguna media yang kritis dan bertanggungjawab. 2.0 Potensi dan Cabaran TikTok dalam Bimbingan Haji Potensi TikTok dalam bimbingan haji terletak pada keupayaannya menyampaikan maklumat secara pantas, mudah dicapai, serta sesuai dengan gaya hidup digital generasi kini. Format video pendek yang ditawarkan memberi kelebihan untuk menyampaikan isi padat dalam masa singkat, sejajar dengan kecenderungan masyarakat moden yang mempunyai jangka perhatian lebih singkat. Dalam konteks haji, TikTok boleh menjadi pelengkap kepada kursus tradisional, misalnya dengan menyediakan pengenalan ringkas kepada rukun haji, perkongsian pengalaman jemaah terdahulu, serta motivasi rohani yang mampu meningkatkan kesedaran awal umat Islam. Dari sudut capaian, statistik menunjukkan bahawa lebih daripada separuh pengguna internet di Malaysia menggunakan TikTok secara aktif (The Global Statistics, 2025). Hal ini menjadikan TikTok sebagai ruang dakwah yang mempunyai jangkauan luas dan berupaya mencapai audiens yang mungkin tidak hadir dalam kuliah masjid atau kursus haji bersemuka. Tambahan pula, interaktiviti melalui komen, “live session” membuka peluang untuk dialog dua hala antara pendakwah dengan audiens, (Helland, 2005). Walau bagaimanapun, potensi ini turut beriringan dengan pelbagai cabaran. Pertama, wujud risiko penyebaran maklumat tidak sahih kerana tidak semua pendakwah di TikTok mempunyai autoriti agama yang diiktiraf. Hal ini boleh mengundang salah faham berkaitan hukum atau tatacara haji, terutama apabila kandungan tidak disertakan dengan dalil kukuh atau rujukan rasmi. Kedua, kandungan berbentuk video pendek boleh menyebabkan penyederhanaan berlebihan terhadap ritual ibadat yang kompleks, lalu mengabaikan aspek penghayatan dan kefahaman mendalam. Selain itu, gaya penyampaian yang terlalu santai atau dipengaruhi trend hiburan TikTok kadangkala tidak menepati adab dakwah Islam, misalnya penggunaan muzik latar yang kurang sesuai, bahasa berlebihan, atau penyampaian yang lebih mementingkan populariti berbanding kebenaran isi. Cabaran ini menggambarkan peralihan autoriti agama dalam ekosistem digital Islam atau Cyber-Islamic Environments (CIEs), di mana suara pendakwah bertauliah bersaing dengan influencer muslim atau pengguna biasa yang turut menghasilkan kandungan agama (Bunt, 2009). Akhirnya, cabaran terbesar ialah sejauh mana TikTok mampu berfungsi sebagai pelengkap, bukan pengganti, kepada bimbingan tradisional yang lebih mendalam. Kursus haji yang dianjurkan oleh institusi rasmi seperti Tabung Haji tetap diperlukan kerana ia melibatkan latihan praktikal, soal jawab langsung, dan jaminan kesahihan maklumat. Justeru, walaupun TikTok memiliki potensi besar untuk memperluas capaian dakwah dan bimbingan haji, penggunaannya perlu diiringi dengan pemantauan etika, pemilihan sumber yang berautoriti, serta kesedaran kritis dalam kalangan audiens. 3.0 METODOLOGI KAJIAN 3.1 Reka Bentuk Kajian Kajian ini berbentuk kajian kualitatif dengan pendekatan kajian perpustakaan. Pendekatan ini dipilih kerana fokus kajian adalah untuk meneroka dan menganalisis literatur sedia ada berkaitan dakwah digital, TikTok,
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=