E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 109 menunjukkan bahawa TikTok memberi daya tarikan kepada generasi muda melalui elemen visual, muzik, teks, dan naratif ringkas. Kandungan agama di TikTok termasuklah tazkirah, bacaan doa, penjelasan hukum fiqh, dan pengalaman rohani. Fenomena ini menunjukkan potensi besar TikTok dalam memperluas jangkauan dakwah, termasuk dalam aspek bimbingan haji. Dari perspektif teori, TikTok boleh dilihat sebagai sebahagian daripada Cyber-Islamic Environments (CIEs), iaitu ekosistem digital Islam yang dihuraikan oleh Bunt (2000, 2003, 2009). CIEs merujuk kepada ruang siber di mana amalan, identiti, dan autoriti Islam dinegosiasikan semula melalui teknologi. Dalam persekitaran ini, autoriti agama tidak hanya terbatas kepada institusi rasmi seperti Tabung Haji, tetapi turut dikongsi oleh pendakwah bebas, influencer muslim, bahkan pengguna biasa yang berkongsi pengalaman ibadat. Hal ini menghasilkan kepelbagaian sumber ilmu yang boleh memperkayakan pemahaman umat Islam, tetapi pada masa yang sama menimbulkan cabaran dari segi kesahihan maklumat dan legitimasi autoritiagama. Dalam konteks bimbingan haji, TikTok sebagai sebahagian daripada CIEs menampilkan satu bentuk autoriti berlapis iaitu ada kandungan yang bersumberkan institusi rasmi, ada yang datang daripada agamawan bertauliah, dan ada juga naratif pengalaman peribadi jemaah. Justeru, fenomena ini perlu dinilai secara kritis bagi memahami bagaimana dakwah digital di TikTok bukan sahaja menyebarkan maklumat, tetapi juga membentuk cara umat Islam berinteraksi dengan ilmu, membina identiti keagamaan digital, serta kefahaman tentang ibadat haji. 2.3 Penerimaan Masyarakat terhadap Dakwah Digital Penerimaan masyarakat terhadap dakwah digital bergantung kepada beberapa faktor seperti kredibiliti pendakwah, gaya penyampaian, kejelasan mesej, dan kesesuaian dengan kehendak pengguna. Kajian terdahulu mendapati bahawa pengguna media sosial cenderung memberi perhatian kepada kandungan agama yang bersifat ringkas, praktikal, dan relevan dengan kehidupan seharian. Walau bagaimanapun, timbul isu berkaitan kesahihan maklumat, penyalahgunaan platform untuk tujuan hiburan berlebihan, serta risiko salah tafsir apabila ilmu agama dipermudah secara berlebihan. Dalam kerangka Uses and Gratifications Theory (UGT), penerimaan masyarakat terhadap kandungan digital dijelaskan melalui motivasi individu menggunakan media untuk memenuhi keperluan tertentu seperti mendapatkan maklumat, hiburan, interaksi sosial, atau identiti peribadi. Hal ini menjelaskan mengapa kandungan dakwah di TikTok yang menggunakan pendekatan visual menarik dan bahasa mudah lebih mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan generasi muda. Kandungan yang memenuhi keperluan emosi dan spiritual pengguna akan lebih mudah diterima serta dikongsikan dalam jaringan sosial mereka. Kajian tempatan juga menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia semakin menerima media sosial sebagai ruang memperoleh ilmu agama. Misalnya, kajian oleh Hashim dan Yusof (2022) mendapati bahawa pengguna TikTok menilai dakwah digital berdasarkan kesahihan sumber, kejelasan mesej, serta nilai praktikal yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian. Sebaliknya, kandungan yang terlalu sensasi atau bercampur dengan hiburan berlebihan sering menimbulkan keraguan dan mengurangkan tahap penerimaan audiens. Selain itu, penerimaan masyarakat turut dipengaruhi oleh tahap literasi digital Islam. Pengguna yang mempunyai asas ilmu agama lebih berupaya menapis dan menilai kandungan, manakala mereka yang kurang latar belakang agama berisiko menerima maklumat secara mentah tanpa semakan. Faktor ini menimbulkan keperluan kepada etika dakwah digital, termasuk pematuhan kepada garis panduan rasmi seperti yang dikeluarkan oleh JAKIM, agar mesej yang disampaikan tidak mengelirukan masyarakat.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=