E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 108 Sehubungan itu, kajian ini berusaha meneroka bagaimana fenomena dakwah digital di TikTok mampu mencorakkan pemahaman umat Islam terhadap ibadat haji. Selain itu, kajian ini juga menilai sejauh mana TikTok boleh berfungsi sebagai alternatif atau pelengkap kepada medium bimbingan tradisional yang sedia ada kepada golongan muda. 1.1 Pernyataan Masalah Bimbingan haji tradisional di Malaysia selama ini bergantung kepada kursus bersiri yang dikendalikan oleh Lembaga Tabung Haji, kuliah di masjid, serta bahan bercetak seperti buku panduan dan risalah ibadat. Walaupun kaedah ini berkesan, ia mempunyai beberapa keterbatasan, antaranya kekangan masa, lokasi, dan kadar capaian maklumat dalam kalangan bakal jemaah yang tinggal jauh dari pusat latihan. Keadaan ini menimbulkan keperluan kepada medium sokongan yang lebih fleksibel dan mudah diakses. Dalam konteks masyarakat kini, media sosial semakin menjadi saluran utama untuk penyebaran maklumat agama. TikTok, sebagai platform yang popular dengan video pendek dan interaktif, membuka ruang baharu bagi penyampaian dakwah digital. Kandungan yang mudah dikongsi menjadikan TikTok berpotensi sebagai medium bimbingan haji, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang lebih dekat dengan teknologi digital. Namun begitu, fenomena ini masih baru dan belum diterokai secara mendalam dalam konteks ibadat haji. 1.2 Objektif Kajian Kajian ini dilaksanakan dengan objektif untuk: i. Menganalisis bagaimana fenomena dakwah digital melalui TikTok mencorakkan pemahaman umat Islam terhadap ibadat haji. ii. Menilai sejauh mana TikTok berfungsi sebagai alternatif kepada medium bimbingan haji tradisional. 1.3 Persoalan Kajian Berdasarkan objektif yang dirumuskan, persoalan kajian adalah seperti berikut: i. Bagaimanakah fenomena dakwah digital melalui TikTok mencorakkan pemahaman umat Islam terhadap ibadat haji? ii. Sejauh manakah TikTok boleh berfungsi sebagai alternatif atau pelengkap kepada medium bimbingan haji tradisional? 2.0 SOROTAN LITERATUR 2.1 Konsep Dakwah Digital Dakwah digital merujuk kepada penyampaian mesej Islam melalui medium teknologi maklumat dan komunikasi, khususnya media sosial. Bunt (2018) mendefinisikan fenomena ini sebagai sebahagian daripada cyber-Islamic environments yang membolehkan mesej agama disebarkan secara global melalui ruang digital. Pandangan ini turut diperkukuh oleh Ahmad, Yusoff dan Ghazali (2015) yang melihat dakwah digital sebagai strategi penyampaian mesej Islam melalui media sosial secara lebih pantas, interaktif, dan meluas selaras dengan perubahan gaya hidup masyarakat moden. 2.2 TikTok sebagai Medium Dakwah TikTok merupakan aplikasi media sosial yang menekankan kandungan berbentuk video pendek, biasanya berdurasi antara 15 saat hingga 3 minit. Dalam konteks dakwah, TikTok semakin digunakan oleh agamawan dan pendakwah untuk menyampaikan mesej Islam secara ringkas dan mudah diakses. Kajian lepas
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=