E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 107 DAKWAH DIGITAL: TIKTOK SEBAGAI MEDIUM BIMBINGAN HAJI Mohd Tarmizi Che Mat PEKTA Tabung Haji Emel : ustazmizinaka@gmail.com , ABSTRAK Kajian ini meneliti fenomena dakwah digital dengan memberi fokus kepada penggunaan TikTok sebagai medium bimbingan haji, khususnya dalam kalangan generasi muda. Melalui pendekatan kualitatif berbentuk kajian perpustakaan serta analisis kandungan video TikTok, kajian ini menilai potensi dan cabaran platform tersebut dalam menyampaikan ilmu berkaitan ibadat haji. Dapatan menunjukkan bahawa ciri visual, interaktif, dan ringkas yang ditawarkan TikTok berkesan dalam meningkatkan kefahaman umat Islam terhadap konsep dan amalan haji, selain berjaya menarik minat generasi digital termasuk komuniti khusus seperti orang kelainan upaya (OKU). Walau bagaimanapun, analisis turut mendapati bahawa kandungan berkaitan bimbingan haji lebih banyak dihasilkan oleh individu berbanding institusi berautoriti, sekali gus menimbulkan risiko kesahihan maklumat. Sehubungan itu, kedudukan TikTok lebih sesuai difahami sebagai pelengkap kepada kursus bimbingan tradisional kerana aspek praktikal dan spiritual ibadat masih memerlukan bimbingan bersemuka. Kajian ini menegaskan pentingnya penglibatan aktif institusi agama dalam menghasilkan kandungan rasmi serta kawalan terhadap mesej dakwah digital agar selari dengan syariat. Implikasi kajian menunjukkan bahawa media sosial berpotensi menjadi jambatan antara generasi digital dengan institusi tradisional, dengan syarat strategi dakwah digital dilaksanakan secara kreatif, sistematik, dan berlandaskan autoriti agama yang sahih. Kata kunci: Dakwah digital, TikTok, bimbingan haji, generasi muda, media sosial PENDAHULUAN 1.0 LATAR BELAKANG KAJIAN Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam yang kelima dan menjadi kewajipan kepada setiap Muslim yang berkemampuan dari sudut fizikal, kewangan, dan emosi. Pelaksanaan haji bukan sahaja menuntut persediaan rohani, malah juga kefahaman mendalam tentang prosedur, syarat, dan rukun yang perlu dipatuhi. Justeru, bimbingan haji memainkan peranan penting bagi memastikan para jemaah dapat melaksanakan ibadat ini dengan sahih, sempurna, dan tenang. Tradisi bimbingan haji di Malaysia kebiasaannya dilaksanakan melalui kursus intensif yang dianjurkan oleh Lembaga Tabung Haji, kuliah di masjid, serta penggunaan buku panduan. Walau bagaimanapun, perkembangan teknologi komunikasi telah mengubah cara masyarakat memperoleh ilmu dan maklumat. Generasi baharu kini lebih cenderung menggunakan media sosial sebagai medium utama pembelajaran, termasuk dalam hal berkaitan ibadat. TikTok sebagai salah satu platform media sosial paling popular, khususnya dalam kalangan generasi muda, semakin menjadi medan penyampaian mesej dakwah digital. Kandungan berbentuk video pendek yang ringkas, visual yang menarik, dan mudah diakses memberi kelebihan kepada pendakwah dalam menyampaikan ilmu agama secara cepat dan meluas. Fenomena ini turut melibatkan kandungan berkaitan bimbingan haji, sama ada dalam bentuk perkongsian pengalaman, penerangan rukun haji, mahupun motivasi rohani. Hal ini bertepatan dengan maksud hadis Rasulullah SAW: “Ajarilah anak - anakmu sesuai dengan zamannya” (Riwayat al-Baihaqi). Hadis ini menegaskan bahawa dakwah dan pendidikan hendaklah menggunakan pendekatan yang selari dengan realiti generasi semasa, termasuk penerapan teknologi digital seperti TikTok.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=