OFFSTONE | JUNE 2026 EDITION
20 asas sebelum proses kerjasama. Beliau juga turut menegaskan bahawa prinsip ini tidak terhad kepada umat Islam sahaja bahkan merangkumi segenap lapisan masyarakat. Konsep wasatiyyah bukan sahaja melibatkan interaksi dengan saudara sesama Islam malah meliputi interaksi dengan golongan yang berbeza agama dan kepercayaan menerusi penafsiran Surah al-Hujurat, ayat 13 yang mengandungi tiga prinsip, iaitu al-musawah (kesetaraan), al- taʿaruf (mengenal), dan al-taqwa (ketaqwaan) sebagai indikator bagi mencapai keluhuran peribadi. Beliau turut menukilkan peristiwa sebab turunnya ayat yang dikaitkan dengan prinsip al-musawah iaitu kesetaraan tanpa mengira latar belakang individu. Merujuk riwayat Ibn Abi Hatim, ayat ini diturunkan berkaitan peristiwa semasa pembukaan kota Mekah, apabila Bilal bin Rabah seorang bekas hamba berkulit hitam dipilih oleh Rasulullah SAW untuk melaungkan azan di atas Kaʿbah. Peristiwa yang menunjukkan kesetaraan manusia tanpa mengira latar belakang bangsa mahupun taraf sosial. Menerusi Surah al-Mumtahanah, ayat 8, Wahbah Zuhaili menafsirkan bahawa keharusan bagi muslim untuk berbuat baik dan berlaku ihsan terhadap golongan bukan Islam yang tidak memusuhi kaum muslim. Ini termasuklah berlaku adil dengan menunaikan hak-hak mereka, memenuhi janji, menjaga amanah, serta memberikan harga jual-beli secara penuh tanpa sebarang penipuan. Penafsiran ayat ini bukan sekadar menekankan toleransi terhadap golongan yang berbeza agama, malah mengajak agar memenuhi hak mereka dengan adil dan saksama tanpa sebarang penindasan. Penutup Berdasarkan analisa tafsir tematik terhadap pandangan ilmuan seperti Wahbah Zuhaili dan Ibnu Katsir, dapat disimpulkan bahawa perintah yang terdapat di dalam dalil-dalil ini menjadi dasar bagi keseimbangan perhubungan sosial di era digital menerusi konsep asabiyyah (solidariti sosial) dan wasatiyyah iaitu nilai kesederhanaan, toleransi dan keadilan yang wajar dijadikan sebagai model komunikasi yang beretika, harmoni dan inklusif. Penekanan konsep ini wajar diterapkan sebagai solusi dalam mewujudkan garis panduan komunikasi yang harmoni terutamanya dalam penggunaan media sosial. Hal ini bertujuan bagi membendung risiko penyebaran doktrin yang berunsur perkauman, provokasi, penindasan terhadap golongan tertentu dan ketaksuban yang melampau. Ia juga wajar untuk diketengahkan dalam dunia pendidikan awal agar penerapan sikap positif dapat dipupuk bagi setiap individu demi mewujudkan perpaduan, keharmonian dan kelestarian masyarakat madani.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=