OFFSTONE | JUNE 2026 EDITION

16 menyampaikan mesej dengan baik dan mengurus perbezaan pendapat dengan matang tanpa mencetuskan permusuhan atau konflik yang berlebihan. Perbahasan mengenai pembentukan akhlak dan hubungan sosial yang disampaikan oleh Imam al-Ghazali dalam penulisan ‘Ihya Ulumuddin’ menekankan bahawa kepincangan perhubungan masyarakat berpunca daripada kegagalan manusia mengawal akhlak, lisan, dan sifat mementingkan diri. Dalam konteks komunikasi sosial, beliau menjelaskan bahawa penggunaan kata-kata yang menyakitkan, penghinaan, serta sikap tidak menjaga hubungan sesama manusia mampu melemahkan perpaduan dan boleh menimbulkan permusuhan dalam kalangan masyarakat. Selain itu, Imam al Nawawi dalam syarahnya terhadap hadis (Sahih Muslim:45) berkaitan kasih sayang sesama muslim menjelaskan bahawa kesejahteraan masyarakat tidak dapat dibina tanpa wujudnya sikap saling membantu, dan menghormati hak orang lain. Menurut beliau, kegagalan mengamalkan nilai tersebut boleh membawa kepada perpecahan sosial dan hilangnya keharmonian dalam komuniti. Pendekatan perhubungan yang menekankan nilai dan moral dalam membentuk masyarakat bertamadun sangat penting untuk pembinaan integriti sosial. Seperti pengajaran melalui peristiwa Nabi Muhammad SAW mengenai keberkesanan perundingan baginda menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar demi solidariti sosial di Madinah. Baginda menyampaikan ajaran dan nasihat melalui gaya komunikasi yang sepadan (pembujukan) dan perlakuan baginda yang mencerminkan peribadi (identiti) yang mulia menepati keperluan integriti. Antara nilai-nilai murni yang dapat dirungkaikan menerusi peristiwa ini ialah tentang kejujuran, amanah, keadilan, toleransi, kasih sayang, dan tanggungjawab menerusi integriti sosial. Nilai-nilai ini memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang stabil dan harmoni. Pendidikan yang menekankan aspek nilai seperti teori dan pendidikan berasaskan nilai (VBE) mampu melahirkan individu yang bukan sahaja teguh, tetapi juga memiliki kesedaran moral dan etika sosial dalam istilah yang lain akhlak yang mulia. Dalam konteks globalisasi, nilai integriti sosial yang diketengahkan melalui gaya komunikasi Rasulullah S.A.W. turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan ( SDG), khususnya SDG 16 iaitu ‘ Peace, Justice and Strong Insitutions’ . Matlamat ini juga menekankan kepentingan bermasyarakat yang harmoni, adil dan bertanggungjawab serta bebas daripada penindasan. Seterusnya, nilai seperti amanah, keadilan dan tanggungjawab sosial yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W. sangat membantu dalam pembentukan sosial komuniti yang lebih harmoni dan beretika. Selain itu, penekanan terhadap pendidikan akhlak juga berkait dengan SDG 4 yang menekankan pembangunan insan melalui pendidikan berkualiti dan pembentukan nilai moral.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=