Majalah Al-Hikmah Edisi ke 17
MA JA L AH A L - H I KMAH 20 Untuk penulisan artikel ini, kitab yang dirujuk adalah penerbitan Dar al-Irfan yang kesebelas dan telah dikemaskini pada tahun 2001. Kitab ini mengandungi 566 halaman yang memuatkan bab- bab seperti definisi ilmu tasawuf, metodologi amalan dalam tasawuf seperti amalan suhbah , bai’ah , talqin , adab murid, mujahadah, zikir, mencium tangan dan berdiri hormat kepada para ulama, beruzlah, kaedah mencapai makrifatullah, faedah daripada mengamalkan tasawuf, pembetulan beberapa salah faham berkenaan ilmu tasawuf, konsep wihdah al-wujud , hulul , ittihad , musuh- musuh tasawuf, dan persaksian para ulama muktabar Ahli Sunah Waljamaah berkenaan kedudukan ilmu tasawuf dalam ajaran Islam. Dalam subtopik nash’ah `ilm al-tasawwuf atau kemunculan ilmu tasawuf menerusi bab pertama pengenalan tasawuf ( al-Ta’rif bi al-Tasawwuf ), halaman 22 – 27, almarhum Syeikh Abd Al-Qadir Isa berjaya menghuraikan dengan ringkas bahawa tasawuf adalah ajaran asas dalam agama Islam bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Malah, Rasulullah SAW, para Sahabat RA dan golongan salaf umat Islam beramal dan mengajarkan tasawuf dalam dakwah Islam ke seluruh alam. Meskipun nama tasawuf muncul secara rasmi selepas kewafatan Rasulullah SAW, hakikatnya, pati ilmu tasawuf bersumberkan kepada ilmu akhlak, amalan zuhud, sifat ihsan dan warak yang diajarkan oleh Al- Quran dan al-Sunnah. Perkara yang sama juga dinukilkan oleh Almarhum Syeikh Abd Al-Qadir Isa pada halaman 477 iaitu “mazhab (tasawuf) kami terikat dengan prinsip-prinsip al-Kitab dan al- Sunnah ( madhhabuna hadha muqayyad bi usul al- Kitab wa al-Sunnah ).” Tasawuf adalah Ajaran Asas Agama Islam Almarhum Syeikh Abd Al-Qadir Isa menegaskan bahawa tasawuf merupakan amalan autentik dalam Islam dengan merujuk kepada pelbagai pandangan oleh ulama muktabar Ahli Sunah Waljamaah seperti Imam al-Qushayri, Ibn Khaldun, Dr. Ahmad ‘Alwaysh, dan al-Hafiz al-Sayyid Muhammad Siddiq al- Ghumari. Hakikatnya, tasawuf dan tarekat berakar langsung daripada ajaran al-Quran dan al-Sunnah, khususnya melalui konsep ihsan yang dihuraikan dalam hadis Jibril AS yang masyhur. Ihsan iaitu beribadah kepada Allah seolah-olah melihat-Nya, dan menyedari bahawa Dia sentiasa melihat hamba- Nya bukanlah unsur tambahan (idafiyyah) dalam agama. Bahkan, ihsan ialah salah satu daripada tiga rukun utama agama bersama Islam dan iman. Justeru, tasawuf sebagai disiplin yang memfokuskan maqam ihsan adalah sebahagian daripada struktur asas Islam dan bukannya bid’ah umat terkemudian yang terpisah daripada sumber wahyu. Hakikat ini juga seiring dengan analisis Ibn Khaldun dalam Muqaddimah , yang menyatakan bahawa tasawuf termasuk dalam ilmu-ilmu syariah yang pembukuannya hanya muncul selepas zaman Tabi’in, namun asas dan pengamalannya telah wujud dalam kalangan salaf umat Islam. Beliau menegaskan bahawa jalan golongan sufi berpaksikan kepada asas tekun beribadah, memusatkan diri kepada Allah, menjauhi kemewahan dunia, dan beruzlah untuk beribadat. Apabila manusia pada abad kedua hijrah semakin cenderung kepada kehidupan duniawi, golongan yang kekal beriltizam dengan jalan ibadah ini dikenali sebagai golongan sufi. Kenyataan ini menunjukkan bahawa tasawuf bukanlah fenomena asing, tetapi kesinambungan amalan generasi awal yang kemudiannya diberi nama khusus apabila keadaan sosial telah berubah.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=