Majalah Al-Hikmah Edisi ke 17
MA JA L AH A L - H I KMAH 19 KEMUNCULAN TASAWUF DALAM PANDANGAN ALMARHUM SYEIKH ABD AL-QADIR ISA (1920-1991) Dr. Wan Mohd Fazrul Azdi Bin Wan Razali , Felo Bersekutu, Institut Sains Islam (ISI) & Pensyarah, Program Pengajian Akidah dan Agama, USIM Kata hukama’: “manusia memusuhi apa yang tidak diketahuinya dan menjadi hamba kepada apa yang dia ketahui.” Dalam dunia hari ini yang kaya dengan maklumat, sarat dengan informasi, menerusi pelbagai ruang akses dan saluran maklumat, umat manusia menjadi semakin berinformasi. Namun, hakikat yang selalu diabaikan, tidak semua informasi ini menjamin pengetahuan yang benar dan yang diperlukan oleh semua lapisan masyarakat. Akhirnya, berlakulah apa yang digelarkan oleh para akademik sebagai gejala disinformasi dan misinformasi berkenaan sesuatu perkara atau isu dalam masyarakat. Artikel ini disediakan bagi menjawab hakikat sebenar kemunculan bidang tasawuf dalam dunia Islam menurut kefahaman pengkaji dan pengamalnya iaitu Almarhum Syeikh Abd Al-Qadir Isa, menerusi tajuk nash’ah `ilm al-tasawwuf (kemunculan ilmu tasawuf), dalam kitabnya: Haqa’iq ‘an al-Tasawwuf (hakikat-hakikat berkenaan tasawuf). Tajuk ini dihidangkan kepada para pembaca bagi menjawab pelbagai salah faham dan kekeliruan berkenaan ilmu tasawuf yang seringkali dianggap sebagai suatu bid’ah munkarah , ilmu salah dan penentangan terhadap ajaran Islam yang benar menerusi didikan Rasulullah SAW, para Sahabat RA dan para imam muktabar Ahli Sunah Waljamaah. Adalah penting bagi ahli masyarakat hari ini dididik untuk memastikan segala informasi diambil daripada sumber dan ahlinya yang benar, bukan daripada rujukan yang oportunis, populis, reduksionis dan skeptis. Almarhum Syeikh Abd al-Qadir Isa dan Kitab Haqa’iq ‘An al-Tasawwuf Almarhum Syeikh Abd Al-Qadir Isa adalah ulama kelahiran Halab (Aleppo), Syria dengan nama penuh beliau Abd Al-Qadir bin Abdullah bin Qasim bin Muhammad bin Isa Al-Halabi al-Shadhili Al-Husayni. Beliau dilahirkan pada tahun 1920 dan telah menuntut ilmu-ilmu Islam daripada ramai ulama seperti Almarhum Syeikh Muhammad Zammar, Syeikh Ahmad Mu’awwad, Syeikh Hasan Hassani, Syeikh Muhammad al-Hashimi (1880-1961), dan ramai lagi. Beliau meneruskan usaha pengajaran dan pengamalan ilmu tasawuf yang dibawa oleh Almarhum Syeikh Muhammad al-Hashimi dengan menjadi murshid bagi Tarekat al-Shadhiliyyah di Syria, Jordan, Lubnan, Iraq dan Turkiye sejak tahun 1958. Beliau meninggal dunia pada tahun 1991 ketika berdakwah di Turkiye dan dimakamkan di Istanbul. Kitab Haqa’iq ‘An al-Tasawwuf atau hakikat-hakikat berkenaan tasawuf adalah sebuah kitab istimewa yang ditulis oleh Almarhum Syeikh Abd Al-Qadir Isa untuk para pelajar, pembaca, pengkaji, dan pencari kebenaran berkenaan ilmu tasawuf. Kitab ini telah diterbitkan di Halab, Syria sejak tahun 1961. Kitab ini juga dijadikan antara rujukan utama di beberapa pusat pengajian Islam serta tulisan- tulisan penting berkenaan pengajian Islam kerana kandungan perbahasannya yang jelas dan mantap dalam menghuraikan pelbagai perkara berkenaan tasawuf.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=