Majalah Al-Hikmah Edisi ke 17
MA JA L AH A L - H I KMAH 18 Kharlish: Selain itu, apakah pesanan ustazah kepada mahasiswa USIM yang bakal menamatkan pengajian? Siti Aisyah: Pesanan saya kepada mahasiswa dan mahasiswi ialah manfaatkan setiap peluang yang ada sepanjang tempoh pengajian. Jadilah generasi yang matang, kreatif, berfikiran luas dan berani menyumbang kepada masyarakat, di samping sentiasa menjadikan al-Quran dan al-Sunnah sebagai panduan utama dalam kehidupan. Jangan takut untuk mencuba perkara baharu atau merebut peluang yang hadir. Elakkan sikap suka bertangguh, malu atau takut gagal kerana dunia selepas tamat pengajian memerlukan keberanian, ketahanan diri dan kemampuan membuat keputusan yang bijak. Setiap pengalaman yang dilalui akan menjadi proses pembelajaran yang mematangkan diri dan membina kemahiran hidup. Teruskan berusaha sehingga ke penghujung pengajian dan jangan mudah terpengaruh dengan pandangan negatif orang lain. Dengan pengurusan masa yang baik, usaha yang konsisten dan keyakinan terhadap diri sendiri, insya-Allah segala cabaran dapat dihadapi. Semoga semua mahasiswa dan mahasiswi berjaya serta menjadi insan yang memberi manfaat kepada agama, masyarakat dan negara. Insya-Allah. Kharlish: Akhir sekali, boleh ustazah kongsikan sedikit tentang projek atau bidang kerjaya yang sedang diusahakan untuk diketengahkan dalam Majalah Al-Hikmah? Siti Aisyah: Di Azdan Quranic Center, fokus utama kami ialah membantu golongan dewasa mempelajari dan membaca al-Quran dengan lebih baik kerana pembentukan generasi yang mencintai al-Quran bermula daripada ibu bapa. Selain menyediakan kelas al-Quran, kami juga membuka peluang kepada pelajar dan alumni USIM untuk menjalani latihan industri serta membina kerjaya sebagai guru al-Quran. Kami turut menawarkan peluang dalam bidang media dan pemasaran digital seperti pengendalian siaran langsung, penjenamaan dan pemasaran media sosial, dengan latihan disediakan kepada mereka yang berminat. Matlamat kami adalah untuk memperluaskan dakwah al-Quran serta mengangkat profesion guru al-Quran sebagai kerjaya yang profesional dan dihormati. Pada masa yang sama, Azdan sedang merancang pembangunan Kompleks Pendidikan Al-Quran Azdan di kawasan Nilai bagi menyediakan pusat pembelajaran al- Quran khususnya untuk ibu bapa dan warga emas. Saya sendiri berperanan sebagai Chief Branding Officer (CBO), yang memberi fokus kepada aspek penjenamaan dan pembangunan organisasi. Bagi saya, penjenamaan yang sebenar bukan sekadar promosi, tetapi menampilkan akhlak al-Quran dalam kehidupan seharian. Akhir sekali, saya berharap Azdan terus diberi kekuatan untuk menyebarkan manfaat kepada masyarakat dan mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk bersama-sama menyumbang dalam usaha dakwah dan pendidikan al-Quran. Semoga segala usaha ini menjadi asbab kepada tersebarnya lebih banyak kebaikan dalam masyarakat. Insya-Allah.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=