Majalah Al-Hikmah Edisi ke 17
MA JA L AH A L - H I KMAH 17 Kharlish: Selepas menamatkan pengajian di USIM, bagaimana bermulanya perjalanan kerjaya ustazah sehingga mencapai tahap sekarang? Siti Aisyah : Kerjaya saya sebenarnya telah bermula sebelum tamat pengajian di USIM. Sejak masih belajar, saya aktif mengajar al- Quran dan sentiasa mengambil peluang untuk menimba pengalaman serta menyumbang kepada masyarakat tanpa terlalu memikirkan soal imbuhan. Apabila tamat pengajian, saya hanya meneruskan dan mengembangkan usaha yang telah dibina melalui platform Azdan. Alhamdulillah, walaupun berdepan cabaran sebagai pelajar, isteri dan bakal ibu pada tahun akhir pengajian, saya berjaya menamatkan pengajian dengan sokongan penuh daripada suami. Selepas graduasi, kerjaya dalam bidang pendidikan al-Quran terus berkembang, khususnya ketika pandemik COVID-19 apabila kelas dan sesi pengajian al-Quran secara dalam talian mendapat sambutan yang semakin meluas. Bagi saya, kunci kejayaan ialah konsisten dan istiqamah. Kita perlu berusaha mencipta peluang, membuat keputusan yang baik dan terus memberi manfaat kepada orang lain. Dengan niat yang ikhlas dan usaha yang berterusan, Allah SWT akan membuka jalan serta mengurniakan rezeki yang tidak disangka- sangka. Kharlish: Apakah bidang yang diceburi, dan apakah cabaran menarik yang pernah dihadapi sepanjang perjalanan tersebut? Siti Aisyah : Minat saya terhadap bidang al- Quran bermula sejak kecil hasil dorongan ayah yang sentiasa menekankan kepentingan pendidikan agama. Saya terlibat dalam pertandingan tilawah dan hafazan al-Quran sejak usia muda serta mendapat pendidikan di sekolah agama dan maahad tahfiz. Walaupun hasrat asal saya adalah untuk mengikuti program Pengajian al-Quran dan al-Sunnah di USIM, saya akhirnya diterima dalam program Akidah dan Agama. Namun begitu, minat dan kecintaan saya terhadap al-Quran tidak pernah berubah. Sepanjang pengajian dan selepas tamat belajar, saya terus aktif mengajar al- Quran dan menjadikannya sebagai bidang kerjaya utama. Bagi saya, bidang al-Quran bukan sekadar pekerjaan, tetapi satu jalan dakwah dan ibadah yang membolehkan saya membantu orang lain mendekati al-Quran. Antara cabaran terbesar yang saya hadapi ialah berdepan dengan pelbagai ragam manusia, termasuk individu yang berilmu agama tetapi tidak menunjukkan akhlak dan integriti yang selari dengan ilmu yang dimiliki. Pengalaman tersebut mengajar saya bahawa ilmu dan kedudukan tidak semestinya mencerminkan keperibadian seseorang, serta menjadikan saya lebih matang dalam memahami kehidupan. Saya amat menghargai sifat tawaduk, keikhlasan dan kesederhanaan dalam diri seseorang. Segala pengalaman, sama ada manis atau pahit, saya anggap sebagai nikmat dan tarbiah daripada Allah SWT. Hingga hari ini, saya berusaha menjadikan al- Quran sebagai pusat kehidupan dan berharap dapat terus memberi manfaat kepada masyarakat melalui bidang yang saya cintai ini. Alhamdulillah.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=