Majalah Al-Hikmah Edisi ke 17

MA JA L AH A L - H I KMAH 16 AL QURAN ASAS PEMBINAAN JIWA: KISAH USTAZAH AISYAH BAA’IN, ALUMNI USIM Muhammad Kharlish Aimran Bin Yusafizal Mahasiswa Tahun 3, Program Pengajian Akidah dan Agama Fakulti Kepimpinan Dan Pengurusan (FKP), USIM kharlish@raudah.usim.edu.my Kharlish : Assalamualaikum ustazah. Sebagai permulaan, boleh ustazah kongsikan latar belakang diri serta pengalaman ketika menuntut di USIM? Siti Aisyah : Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh.Nama saya Siti Aisyah binti Baa’in atau lebih dikenali sebagai Ustazah Aisyah Baa’in. Saya berasal dari Kelantan dan kini menetap di Nilai, Negeri Sembilan. Saya merupakan anak keempat daripada tujuh orang adik-beradik dan anak perempuan sulung dalam keluarga. Ayah saya merupakan pesara tentera, menyebabkan keluarga kami sering berpindah-randah ketika saya membesar. Saya mendapat pendidikan menengah di Maahad Tahfiz Darul Ulum Al-Basriah, Kuantan dan Sekolah Menengah Agama Al-Hasanah, Keratong sebelum melanjutkan pengajian STAM di Kelantan. Seterusnya, saya menyambung pengajian dalam bidang Akidah dan Agama di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sepanjang pengajian di USIM, saya aktif mengajar al-Quran sambil mengekalkan prestasi akademik yang baik. Pengalaman tersebut memberi banyak manfaat dan membentuk perjalanan kerjaya saya dalam bidang pendidikan al-Quran. Selepas tamat pengajian, saya berkahwin dengan alumni USIM yang kemudiannya menubuhkan pusat al- Quran Azdan. Secara keseluruhannya, pengalaman menuntut ilmu di USIM merupakan antara pengalaman paling bermakna dan membahagiakan dalam hidup saya. Kharlish : Bagaimanakah pengalaman tersebut membentuk pandangan hidup ustazah pada hari ini? Siti Aisyah : Pengalaman belajar di USIM banyak membentuk pandangan hidup saya. Sejak awal pengajian, saya berpegang kepada prinsip bahawa belajar bukan sekadar untuk memperoleh ijazah, tetapi untuk membina masa depan yang bermanfaat. Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk belajar sambil mengajar al-Quran, termasuk di Azdan sejak tahun kedua pengajian. Walaupun jadual saya sangat padat, saya tetap memastikan semua tanggungjawab akademik dilaksanakan dengan baik. Pengalaman mengimbangi pengajian dan pekerjaan mengajar saya tentang kepentingan disiplin, pengurusan masa dan memanfaatkan setiap peluang yang diberikan Allah SWT. Saya juga banyak belajar daripada suami saya yang ketika itu merupakan rakan sekerja dan mentor di Azdan. Melalui pengalaman tersebut, saya semakin memahami nilai tanggungjawab, menerima nasihat dan melihat kehidupan dari perspektif yang lebih matang. Bagi saya, masa adalah amanah yang perlu digunakan untuk perkara yang bermanfaat, dan antara kebahagiaan terbesar yang saya nikmati sepanjang tempoh pengajian ialah dapat mengajar al-Quran serta memberi manfaat kepada orang lain.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=