Majlis Konvokesyen ke-24 USIM | 2026
I 21 Di sebalik kejayaan korporat, sumbangan Tan Sri Abdul Rashid dalambidangwakaf, dakwah dan pembangunan masyarakat merupakan antara legasi yang paling dekat dengan kehidupan umat. Beliau telah membina dan mewakafkan tiga buah masjid di Malaysia. Masjid pertama ialah Masjid Ai’shah di Pulau Langkawi, Kedah, yang dinamakan sempena nama ibu beliau dan diwakafkan pada tahun 1999. Masjid kedua ialah Masjid Hussain di Seremban 2, yang dinamakan sempena bapa beliau dan diwakafkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan pada tahun 2014. Seterusnya, beliau membina Masjid Sri Sendayan di Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan, yang disiapkan dan diwakafkan pada tahun 2019. Sumbangan tersebut melangkaui pembangunan fizikal masjid. Pada tahun 2017, beliau turut membina dan mewakafkan Darul Asnaf Sri Sendayan, sebuah kediaman khas bagi golongan kurang berkemampuan yang mampu menempatkan sehingga 60 orang kanak-kanak. Sejak dilantik sebagai Mutawali bagi Masjid Hussain dan Masjid Sri Sendayan pada tahun 2022, beliau telah membawa pengalaman pengurusan korporat ke dalam pengurusan masjid melalui agenda transformasi dan pendigitalan, program Sahabat Masjid, kesukarelawanan dan perkongsian ilmu secara digital. Usaha ini berasaskan keyakinan beliau bahawamasjid perlu berfungsi sebagai kompas moral bagi ummah serta pusat pembinaan masyarakat yang bersatu dan berilmu. Atas dasar jasa dan sumbangan beliau, Tan Sri Abdul Rashid telah menerima pelbagai pengiktirafan, antaranya Darjah Kebesaran Dato’ Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (D.S.S.A.) pada tahun 1991 dan Darjah Yang Mulia Panglima Setia Mahkota (P.S.M.) pada tahun 1993. Beliau turut dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Perniagaan oleh Wawasan Open University, dinobatkan sebagai Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023, Tokoh Utama Maal Hijrah Peringkat Wilayah Persekutuan 1446H/2024, menerima Global Islamic Leadership Award 2024, dan seterusnya dinobatkan sebagai Tokoh Perdana Maulidur Rasul 1447H/2025. Sesungguhnya, perjalanan Tan Sri Abdul Rashid Hussain memperlihatkan suatu bentuk kepimpinan yang menghubungkan kecemerlangan profesional dengan amanah, tadbir urus dengan integriti, serta kejayaan dengan khidmat kepada agama dan masyarakat. Sumbangannya dalam kewangan Islam, pendidikan, pembangunan institusi, wakaf dan pemerkasaan fungsi masjid mencerminkan penghayatan dakwah yang diterjemahkan melalui tindakan dan pengurusan. Atas sumbangan dan legasi tersebut, Universiti Sains Islam Malaysia dengan penuh penghargaan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Da‘wah dan Pengurusan Islam kepada beliau.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=