Majlis Konvokesyen ke-24 USIM | 2026
“Integrasi Ilmu Tonggak Kebitaraan Graduan” 20 I Sebahagian besar peringkat awal pendidikan Tan Sri Abdul Rashid dilalui di England. Pengalaman tersebut kemudiannya membuka ruang kepada pendedahan antarabangsa dalam dunia kewangan apabila beliau menimba pengalaman di beberapa institusi kewangan terkemuka, termasuk Strauss & Turnbull, Rothschild & Sons Ltd. di England, Daiwa Securities di Jepun dan Salomon Brothers Inc. di New York. Pada tahun 1975, beliau kembali ke Kuala Lumpur dan menyertai Bumiputra Merchant Bankers Berhad. Pada tahun yang sama, beliau turut lulus dalam The Stock Exchange Examination di London. Titik penting dalam perjalanan keusahawanan beliau bermula pada tahun 1983 apabila beliau menubuhkan Rashid Hussain Securities (RHS). Bermula sebagai sebuah firma sekuriti dengan hanya sekitar belasan orang kakitangan, RHS berkembang di bawah kepimpinan beliau sehingga menjadi RHB Bank pada tahun 1997 dan muncul sebagai salah sebuah kumpulan perkhidmatan kewangan utama negara. Seterusnya, Kumpulan RHB berkembang merentasi pelbagai segmen kewangan dan pasaran serantau termasuk Malaysia, Singapura, Thailand, Filipina, Indonesia dan Brunei. Sumbangan Tan Sri Abdul Rashid turut meninggalkan kesan penting dalamperkembangan kewangan Islam di Malaysia. Seawal tahun 1993, beliau memperkenalkan perkhidmatan Perbankan Islam di RHB Bank, diikuti Perkhidmatan Pembrokeran Islam di Rashid Hussain Securities pada tahun 1994. Di bawah kepimpinannya juga, beberapa penempatan dan terbitan bon Islam bagi syarikat dan projek utama negara telah dilaksanakan. Pada peringkat antarabangsa, beliau berkhidmat selama 18 tahun, dari tahun 2000 hingga 2018, sebagai Ahli Lembaga Penasihat Islamic Corporation for the Development of the Private Sector , sebuah institusi yang ditubuhkan oleh Islamic Development Bank di Jeddah. Kepimpinan beliau tidak terbatas kepada sektor perbankan. Tan Sri Abdul Rashid pernah menjadi pengerusi pertama Jawatankuasa Eksekutif Khazanah Nasional Berhad dari tahun 1994 hingga 1998 dan Pengerusi Putrajaya Holdings Sdn. Bhd. dari tahun 1995 hingga 2000, selain pernah menganggotai lembaga beberapa syarikat korporat utama negara. Beliau juga merupakan ahli pengasas Asian Corporate Governance Committee dan aktif memperjuangkan amalan tadbir urus korporat yang berteraskan ketelusan dan akauntabiliti. Pada tahun 2022, beliau telah diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menganggotai Suruhanjaya Siasatan Diraja berkaitan operasi dan pengurusan Lembaga Tabung Haji. Komitmen Tan Sri Abdul Rashid terhadap pendidikan dan pembangunan pemikiran Islam turut terserlah melalui pelbagai peranan yang disandang. Beliau merupakan ahli pengasas dan Pengerusi Prime Minister of Malaysia’s Fellowship Exchange Foundation serta ahli pengasas dan Pengerusi Yayasan Barakah, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang ditubuhkan bagi tujuan kebajikan serta memajukan pendidikan dan agama Islam. Dari tahun 2018 hingga 2020, beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Pemegang Amanah International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) Trust Fund. Penglibatan beliau dalam pendidikan tinggi turut merangkumi keanggotaan dalam Lembaga Gabenor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sejak tahun 2018 serta pelantikan sebagai Pro-Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada Mei 2024.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=