E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 83 PENGENALAN DAN PENGETAHUAN BERKENAAN HAZARD BAGI JEMAAH HAJI DAN UMRAH Norazita binti Zainalabidin Halaqah Mukhlisin Travel & Tours Emel: azierizal@gmail.com ABSTRAK Tujuan artikel ini ditulis dan dibincangkan adalah untuk memperkenalkan jenis-jenis hazard yang umum dan hazard yang dianggap tidak mendatangkan bahaya secara zahirnya namun ia sering kali dihadapi oleh jemaah haji dan umrah serta pentingnya edukasi preventif sebelum keberangkatan para jemaah ke tanah suci. Merujuk dewan bahasa dan pustaka, definasi edukasi preventif ialah pendidikan yang berfokus pada pemberian informasi dan keterampilan kepada individu atau masyarakat untuk mencegah terjadinya sebarang masalah, penyakit dan kemalangan dengan tujuan mengurangi risiko serta kesan negatif di masa hadapan. Edukasi ini bersifat proaktif dan ia menekankan pada antisipasi (perkiraan atau bayangan tentang hal-hal yang akan terjadi), kesedaran serta penekanan gaya hidup yang sihat - (sepanjang tempoh sebelum, semasa dan selepas pulang daripada mengerjakan ibadah haji dan umrah). Metodologi yang digunakan meliputi kajian literatur melalui analisis data sekunder daripada laporan kesihatan rasmi dan tidak rasmi, pengalaman penulis sendiri, perkongsian rakan petugas dan para jemaah. Hasil kajian menunjukkan bahawa hazard utama berpunca daripada sikap kurang cakna jemaah, persekitaran, cuaca ekstrem, kepadatan manusia, penyakit menular serta risiko cedera akibat infrastruktur. Melalui penelitian, pendekatan terpadu yang melibatkan edukasi, simulasi manasik, penyediaan informasi yang mudah diakses guna dan sumber rujukan yang diperolehi penulis dapat meningkatkan kesedaran serta sikap cakna jemaah dan semua pihak yang terlibat. Maka, dengan pengenalan hazard ini diharapkan ia mampu meminimakan risiko demi sebuah pelaksanaan ibadah yang lancar dan terpandu. Insya-Allah. Kata kunci : haji dan umrah, hazard, keselamatan jemaah, edukasi preventif, simulasi manasik. PENGENALAN Ibadah haji dan umrah merupakan satu proses perjalanan spiritual yang melibatkan pergerakan fizikal dan mental dalam skala besar di kawasan yang di kelilingi ribuan, malah jutaan manusia yang padat serta mencabar dalam satu-satu masa. Dalam konteks ini, jemaah berpotensi terdedah terhadap pelbagai jenis bahaya (hazard), baik dari segi aspek keselamatan fizik dan kesihatan mental ketika berada dalam lingkungan ramai. Kebanyakan hazard adalah tidak bergerak (dormant), namun ia mempunyai potensi yang secara teorinya boleh menjadi risiko yang mendatangkan kecederaan dan paling perlu kita elakkan ialah apabila hazard ini menjadi aktif, ia boleh menyebabkan situasi kecemasan. Tiga jenis hazard yang telah dikenalpasti boleh menjadi faktor penyumbang risiko kepada jemaah yang pada hakikat asalnya ia bertujuan untuk memudahkan urusan sepanjang tempoh pra-perjalanan dan semasa jemaah berada di bumi Haramain iaitu hazard fizikal, hazard pergerakan dan hazard permukaan jalan. Contoh hazard fizikal ialah persimpangan jalan, pembahagi jalan, penghadang plastik yang terdapat di Masjidilharam dan Masjid Nabawi, tangga, alatan elektrik, dan lain-lain. Manakala, contoh hazard pergerakan ialah aerotrain , eskalator, travelator , lif, kereta, buggy , kerusi roda, lori, bas, van, pejalan kaki, pengguna jalan raya dan haiwan. Hazard yang ketiga pula ialah Hazard permukaan jalan. Contoh hazard permukaan jalan ialah permukaan jalan yang licin, berbatu, berpasir, berlubang dan berlopak.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=