E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 748 keputihan dikira membatalkan wuduk jika ia jatuh, terputus, terkeluar secara total dari kawasan faraj seperti terkena pada pakaian atau jatuh ke atas batu. Sekiranya ia tidak keluar dan berada di kawasan faraj, ia tidak dikira keluar seperti air liur yang berada di mulut. 4. Jemaah harus jelas bahawa keputihan bukan haid maka cara penyuciannya juga berbeza. Cara menentukan terhentinya haid ialah dengan memasukkan kapas ke dalam faraj berdasarkan hadith Aisyah, sekiranya kapas bersih, maka bersihlah dari haid dan mewajibkan mandi. Ada pun penentuan keputihan tidak boleh dilakukan dengan memasukkan kapas kerana faraj sentiasa mempunyai keputihan. Keputihan yang membatalkan wuduk sekiranya ia keluar, terjatuh terkena pakaian dan berpisah secara total dari tempat keluar. Inilah yang dikiaskan dengan air liur di dalam mulut. 5. Pandangan Hanabilah juga sesuai untuk jemaah yang sentiasa mengalami masalah keputihan; “Jika cecair ini keluar secara berterusan, maka hukumnya menyerupai orang yang mengalami masalah kencing tidak lawas ( لس البول . س ) dengan mengambil kira bahawa cecair ini suci, maka tidak wajib membasuhnya dan tidak perlu mengelaknya. Wanita dalam keadaan ini hendaklah berwuduk untuk setiap solat selepas masuk waktunya, dan tidak memudaratkan sekiranya cecair itu keluar selepas berwuduk, walaupun ketika sedang solat.” 6. Asas kepada ibadah adalah keyakinan dan keyakinan tidak dihilangkan dengan syak. Sekiranya jemaah telah berwuduk dalam keadaan bersih, maka kekallah keadaan sucinya sehingga jemaah tersebut yakin bahawa ada keputihan telah keluar. Jemaah juga boleh mengambil kaedah al- Istiṣḥāb dengan berpegang hukum asal sebelum kejadian, jika jemaah telah suci dan menunaikan ibadah solat dan tawaf dengan sempurna, apabila jemaah pulang dan lihat terdapat keputihan pada pakaian dalam, maka boleh dikira ia keluar ketika ia melihat keputihan itu bukan sebelumnya. Dengan syarat dia menyakini bahawa keputihan tidak membatalkan wuduk. 7. Dalam keadaan keputihan keluar, adalah lebih memudahkan jemaah berpegang dengan pendapat Hanabilah yang mentakrifkan keluar keputihan itu apabila ia terpisah dari tempat keluar (faraj sama ada saluran vagina atau saluran kencing) dan terkena pakaian. Sekiranya ia masih berada di kawasan faraj, maka ia tidak membatalkan wuduk. Hal ini bertepatan dengan pandangan perubatan, yang menyatakan bahawa kawasan faraj sentiasa diselaputi cecair yang bertujuan menjaga kesihatan kawasan berkenaan. 8. Adapun lembapan peluh di kawasan peha dan sekitar faraj yang adalah tidak membatalkan wuduk. Kelenjar peluh hanya ada di bahagian luar faraj ( vulva / labia majora dan mons pubis ). KESIMPULAN Masalah keputihan di kalangan jemaah wanita dapat difahami melalui gabungan pandangan fiqh, resolusi haji dan penjelasan pakar perubatan. Cairan yang sepakat tentang kenajisannya ialah mazi, wadi dan air kencing. Semua cairan yang keluar ini membatalkan wuduk. Manakala ada cairan lain yang terdapat khilaf ulama pada sudut perbahasannya. Dari sudut hukum, keputihan terbahagi kepada dua: jika keluar dari zahir faraj ia dianggap suci, manakala jika keluar dari batin faraj ia dihukum najis, justeru wanita hanya wajib membersihkan dan memperbaharui wuduk mengikut keadaan tanpa perlu menukar pakaian setiap kali bagi mereka yang berpandangan keputihan tidak najis. Keputihan pada waktu normal hanyalah sedikit dan hanya meningkat ketika tempoh subur yang akan keluar meninggalkan kesan tompokan pada bahagian pakaian dalam. Bagi mereka yang mengalami keputihan berterusan ( daimul hadath ), syarak memberi rukhsah dengan mengikut pandangan mazhab Maliki iaitu berwuduk sekali setiap masuk waktu solat dan meneruskan ibadah walaupun masih keluar cecair, manakala dalam keadaan lapang boleh kembali mengikut pandangan asal mazhab Syafi‘i. Dari su dut perubatan, keputihan adalah fenomena fisiologi normal bagi wanita usia reproduktif selagi tidak berbau, gatal atau menyakitkan, dan tidak perlu dianggap penyakit. Dalam isu penggunaan menstrual cup, ia lebih sesuai untuk haid dan tidak digalakkan bagi keputihan, namun jika digunakan, ia wajib dibersihkan sekiranya berpegang kepada pandangan bahawa keputihan itu najis. Keputihan yang dianggap najis dan membatalkan wuduk ialah sekiranya keluar dan terkena pada pakaian dalam.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=