E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 730 MASALAH KEPUTIHAN DALAM KALANGAN JEMAAH HAJI: ANALISIS HUKUM MENURUT EMPAT MAZHAB DAN CADANGAN PENYELESAIAN Penulis: Yasmin Hanani Mohd Safian* 1 , Mohd Harifadilah Rosidi 1 Nur Al-Farhain Kamaruzaman 1 , Nur Aina Abdulah 1 . 1 UNIVERSITI SAINS ISLAMMALAYSIA 71800 NILAI, NEGERI SEMBILAN *yasmin@usim.edu.my ABSTRAK Keputihan ialah fenomena fisiologi yang normal dialami oleh kebanyakan wanita, namun bagi Muslimah, ia sering menimbulkan persoalan hukum fiqh berkaitan status kenajisan, kebersihan diri, serta kesahan ibadah. Masalah yang sama membelenggu jemaah haji wanita di Tanah Suci, Justeru, kajian ini menganalisa pandangan ulama fiqh berkenaan status kenajisan keputihan, status wuduk jemaah yang mengalami keputihan dan cadangan penyelesaian.Cadangan penyelesaian keputihan bagi wanita dalam kertas ini akan meneliti keputusan-keputusan muzakarah yang lalu, pendapat pakar perubatan dan cadangan alternatif. PENGENALAN Masalah keputihan dalam kalangan jemaah haji wanita merupakan isu yang sering menimbulkan kegusaran kerana ia berkait rapat dengan ibadah yang memerlukan kesucian dan wuduk yang sempurna. Ramai wanita mengalami keputihan yang berulang atau berterusan, sehingga menyukarkan mereka untuk mengekalkan wuduk dalam jangka masa lama, terutamanya ketika berada di Tanah Haram dengan keadaan sesak, cuaca panas, serta kemudahan tandas yang terhad dan tidak selesa. Keadaan ini menjadi lebih berat apabila timbul keraguan mengenai hukum keputihan sama ada ia najis atau suci, kerana jika dianggap najis, ia akan menimbulkan kebimbangan terhadap kesucian pakaian dan kesahihan solat, manakala jika dianggap suci sekalipun, ia tetap membatalkan wuduk dan menimbulkan kesulitan dalam ibadah seperti solat berjemaah dan tawaf. Perbezaan fatwa dan pandangan mazhabmenambahkan lagi kekeliruan, ada yang berpegang kepada pendapat ia najis dan ada yang menyatakan ia suci. Hal ini menyebabkan sebahagian jemaah wanita berasa waswas, risau ibadah mereka tidak sah, hingga kadang-kadang membawa kepada tekanan emosi. Ringkasnya, masalah keputihan dalam kalangan jemaah haji wanita bukan sahaja memberi kesan kepada aspek fiqh ibadah, tetapi juga membawa cabaran dari sudut praktikal dan psikologi sepanjang mengerjakan haji. Keputihan adalah fenomena biasa bagi kebanyakan wanita dan gadis. Keputihan adalah cecair atau lendir yang membantu menjaga kebersihan dan kelembapan faraj, serta melindunginya daripada jangkitan. Bagi masyarakat Melayu, keputihan secara adatnya adalah sebarang cairan putih bukan darah yang keluar dari kemaluan wanita. PERMASALAHAN KAJIAN Dari sudut perubatan, istilah keputihan (leucorrhoea ) merupakan pengeluaran lendiran putih atau kuning daripada faraj atau serviks. Keputihan fisiologis merupakan petanda yang sangat normal kerana hampir setiap wanita melalui keadaan ini. Namun ciri-ciri keputihan berpenyakit adalah keluar lendir kental berwarna kelabu, kuning atau hijau berbau busuk dan menyebabkan kegatalan pada faraj atau dikenali keputihan patologi. Penyakit keputihan patologi adalah berpunca daripada jangkitan kuman

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=