E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 70 IBRAH HAJI SEBAGAI ASAS ISTIQAMAH IBADAH: ANALISIS PENGHAYATAN DHUYUFURRAHMAN PASCA HAJI Haji Mohamad Hilmi Bin Mat Said, Hajah Rokiah Binti Said PEKTA Pahang & Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah; PEKTA Pahang (Pesara Sekolah) Email: hilmi@umpsa.edu.my; rokiah@gmail.com ABSTRAK Ibadah haji merupakan kemuncak pengabdian seorang Muslim kepada Allah SWT yang menghimpunkan pelbagai dimensi ibadah, pengorbanan, disiplin serta penghayatan makna kehambaan. Namun demikian, nilai sebenar haji tidak hanya terletak pada pelaksanaan manasik di Tanah Haram, bahkan lebih utama pada sejauh mana dhuyufurrahman mampu meneruskan amalan ibadah dengan istiqamah setelah kembali ke tanah air. Kertas kerja ini bertujuan meneliti ibrah-ibrah utama daripada manasik haji dan hubungannya dengan pembentukan istiqamah ibadah dalam kalangan jemaah haji pasca ibadah tersebut. Analisis ini menyorot kepada pengajaran daripada rukun dan wajib haji – seperti tawaf yang menzahirkan kepatuhan total kepada Allah, sa’ie yang menggambarkan usaha berterusan, wukuf yang mengingatkan kepada hakikat kematian dan taubat, serta lontaran jamrah yang mendidik penolakan terhadap godaan syaitan. Kesemua ibrah ini menjadi asas yang kukuh bagi membina disiplin istiqamah, khususnya dalam amalan solat berjemaah, menjaga akhlak, berinfak, serta melazimi ibadah sunat. Kajian ini turut mengupas cabaran yang dihadapi jemaah untuk mengekalkan momentum ibadah selepas haji, termasuk pengaruh persekitaran, kesibukan kerjaya dan kelekaan duniawi. Kajian ini menggunakan metodologi temubual berstruktur kepada 10 jemaah haji telah mengerjakan haji setahun dua kebelakangan disamping itu temu bual juga ditujukan kepada para PEKTA dan PIHTAS yang berpengalaman bersama Jemaah haji sepanjang mereka di Haramain. Justeru, kertas kerja ini mencadangkan sokongan berterusan melalui pengukuhan peranan masjid, program susulan Tabung Haji serta jaringan ukhuwah komuniti pasca haji. Hasil perbincangan ini diharapkan dapat memperkukuh kefahaman bahawa haji mabrur tidak hanya dinilai di Mekah dan Madinah, tetapi lebih utama pada istiqamah ibadah yang berterusan dalam kehidupan seharian dhuyufurrahman. Kata kunci: Ibrah Haji, Istiqamah, Dhuyufurrahman, Haji Mabrur, Pasca Haji 1. PENGENALAN Haji merupakan rukun Islam kelima dan dianggap sebagai kemuncak ibadah dalam kehidupan seorang Muslim. Ia bukan sahaja menuntut kekuatan fizikal dan material, tetapi lebih penting membina kekuatan spiritual dan disiplin diri. Walau bagaimanapun, keberkesanan ibadah haji tidak hanya dilihat semasa pelaksanaan manasik di Tanah Haram, bahkan lebih signifikan pada sejauh mana jemaah haji dapat mengekalkan amalan ibadah dan ketaatan secara istiqamah setelah pulang ke tanah air. Kertas kerja ini bertujuan untuk meneliti ibrah utama daripada manasik haji, menganalisis peranan ibrah dalam pembentukan istiqamah, mengenal pasti cabaran utama jemaah pasca haji, serta mencadangkan bentuk sokongan berterusan untuk memperkukuh amalan mereka.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=