E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 561 Secara ringkasnya, dari era Sheikh Haji dan perjalanan laut (1880-an) yang penuh risiko, pengurusan haji Malaysia telah melalui transformasi institusi yang menyeluruh di bawah Lembaga Tabung Haji, dengan fokus yang semakin meningkat terhadap kecekapan, teknologi, dan etika berteraskan Islam, yang menjadikannya model pengurusan haji terbaik di dunia (Sharifah Binti Ismail, 2016; Sharifah Binti Ismail, 2020). PENUTUP Kajian ini merumuskan tiga objektif utama yang ditetapkan, merangkumi aspek teoretikal pensyariatan ibadah, falsafah spiritual, dan evolusi pragmatik pengurusan haji di Tanah Melayu/Malaysia sepanjang tempoh 1880 hingga 2024. Analisis yang dijalankan melalui metodologi kualitatif, termasuk kajian kepustakaan dan dokumentasi, menegaskan bahawa pengerjaan haji adalah proses yang disulami oleh sejarah panjang perjuangan spiritual, transformasi institusi, dan komitmen etika berteraskan agama. Pertama, analisis sejarah pensyariatan ibadah haji dalam Islam, dapat disimpulkan bahawa kewajipan haji telah wujud sejak zaman Nabi Ibrahim A.S. (Kamaruding et al., 2017), namun ia secara rasmi difardukan dalam syariat Islam pada tahun keenam Hijrah (Mohamad Zaki & Sulong, 2018; Muhammad Salleh Awang, 1986). Kefarduan haji didasarkan kepada dalil yang jelas daripada Al-Quran, khususnya ayat yang menuntut umat Islam mengunjungi Baitullah bagi yang berkemampuan ( istita’ah ) (Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), 2010), dan ia diperkukuh sebagai salah satu rukun Islam dalam Hadis Nabi S.A.W. (Kamaruding et al., 2017). Kedua, analisis falsafah haji dalam Islam menunjukkan bahawa matlamat utamanya adalah untuk mencapai Haji Mabrur — haji yang diterima Allah S.W.T. — yang merupakan ganjaran sebaik-baik jihad dan dijanjikan syurga (Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), 2010). Falsafah ini menuntut penyucian jiwa dan transformasi peribadi, di mana jemaah harus memastikan ibadah mereka tidak dicampuri dengan dosa (Mohamad Zaki & Sulong, 2018) dan perubahan selepas haji ke arah zuhud, menjauhi riyak, sum’ah , dan ujub (Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), 2010). Teras pengurusan haji pula mesti dibina di atas empat tunjang falsafah Islam yang menekankan Tauhid, Ihsan , Amanah , dan Keredhaan Allah ( mardati’Llah ) (Kamaruding et al., 2017). Ketiga, menerusi sejarah pengurusan haji dari Tanah Melayu/Malaysia (1880 – 2024), kajian mendapati ia melalui tiga fasa utama: Era Tradisional, dikuasai oleh Sheikh Haji semasa perjalanan kapal laut (Aiza Maslan@Baharudin, 2009; Idris &Maslan@Baharudin, 2023; Musa &Baharudin, 2024), yang dicirikan oleh kesukaran, kos tinggi, dan eksploitasi (Sharifah Binti Ismail, 2016; Musa &Baharudin, 2024). Fasa kedua, Era Reformasi, bermula dengan cadangan Ungku Aziz (1959) yang membawa kepada penubuhan LUTH/TH pada tahun 1969, dengan matlamat menyediakan platform simpanan patuh Syariah dan mengatasi masalah sosioekonomi (Khaliq et al., 2012; Muneeza et al., 2018). Fasa ini berakhir dengan penamatan perjalanan laut pada tahun 1977, mengakhiri sistem Sheikh Haji (Musa & Baharudin, 2024). Fasa ketiga, Era Pemodenan dan Transformasi Digital (pasca 1975 hingga 2024), di mana TH menjadi pelopor ( pioneer ) pengurusan haji moden di dunia (Sharifah Binti Ismail, 2016; Sharifah Binti Ismail, 2020), terus melaksanakan transformasi, termasuk sistem Mekah Route dan peningkatan prasarana di Masyair, seiring dengan pemulihan kuota penuh (Mohamad Zaki & Sulong, 2018). Secara keseluruhannya, kajian ini menggariskan bahawa kejayaan pengurusan haji Malaysia di bawah TH terletak pada integrasi etika dan nilai agama dalam setiap aspek operasi, dari kewangan (simpanan bebas riba ) hingga logistik dan bimbingan rohani. Walaupun TH telah berjaya mengurangkan kesukaran fizikal dan logistik bagi jemaah, implikasi yang paling penting adalah penekanan berterusan terhadap falsafah Mabrur. Ia adalah peringatan bahawa walaupun pengurusan luaran kini cekap dan bertaraf dunia (Sharifah Binti Ismail, 2020; Mohamad Zaki & Sulong, 2018), penerimaan ibadah haji pada akhirnya bergantung kepada ketaqwaan, keikhlasan niat, dan kualiti peribadi setiap individu jemaah dalam melaksanakan rukun dan menjauhi maksiat, sebagaimana yang dituntut oleh syariat.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=