E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 509 INTEGRASI TEKNOLOGI DALAM BIMBINGAN HAJI: SATU PERKONGSIAN PENGALAMAN Ayu Nor Azilah Mohamad ( corresponding author ) , Wayu Nor Asikin Mohamad Universiti Islam Selangor, Malaysia ; University College Bestari, Malaysia Emel : ayunorazilah@uis.edu.my, ABSTRAK Lembaga Tabung Haji (TH) sebagai institusi pengurusan haji di Malaysia telah berusaha menyediakan kemudahan yang komprehensif dan sistematik demi memastikan kebajikan jemaahnya. Dalam era globalisasi yang menuntut integrasi teknologi digital, penggunaan kecerdasan buatan (AI) semakin diperkasakan untuk meningkatkan keberkesanan proses pengurusan dan bimbingan haji. Kertas kerja ini bertujuan berkongsi pengalaman peribadi serta menilai keberkesanan penggunaan teknologi AI sepanjang penglibatan dalam program bimbingan haji di bawah kendalian TH. Penggunaan aplikasi seperti WhatsApp, THhujjaj, THijari, MyBorderPass, Saudi Visa Bio, dan Nusuk menunjukkan bagaimana integrasi teknologi digital dapat mempercepatkan komunikasi, memudahkan pengurusan dokumen dan perjalanan, serta memperkasakan proses bimbingan jemaah. Pendekatan kajian ini adalah berasaskan metodologi kualitatif yang menumpukan kepada pengalaman subjektif, yang membolehkan penilaian mendalam terhadap keberkesanan, cabaran, dan kekangan yang dihadapi pengguna. Dapatan kajian menunjukkan bahawa pengalaman pengguna menyediakan gambaran manusiawi dan kontekstual, selain membantu mengenal pasti keperluan, harapan, serta isu berkaitan kepercayaan, kekeliruan, dan kekurangan maklumat yang relevan. Secara keseluruhan, kajian ini menegaskan bahawa pandangan subjektif dan pengalaman pengguna adalah penting dalam memperbaiki serta menyesuaikan sistem AI agar lebih mesra pengguna, berkesan, dan mampu memenuhi keperluan sebenar jemaah haji. Kata kunci: AI, Perkongsian, Pengalaman, PENDAHULUAN Kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang berkembang pesat terutamanya dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI) telah menunjukkan keberkesanan ketara. Ini termasuklah dalam kursus bimbingan haji yang dikendalikan oleh Tabung Haji (TH). Inovasi teknologi ini berpotensi untuk meningkatkan keberkesanan dan keberwibawaan dalam proses penyampaian maklumat kepada para jemaah. Melalui penggunaan sistem berasaskan AI seperti penggunaan aplikasi seperti WhatsApp, THhujjaj, THijari, MyBorderPass, Saudi Visa Bio, dan Nusuk sebagai platform saluran maklumat penting berkaitan ibadah haji dapat disampaikan secara lebih pantas, tepat dan bersesuaian dengan keperluan individu jemaah. Tambahan pula, AI mampu membantu dalam menjawab pertanyaan secara langsung, memantau perkembangan persiapan jemaah, serta memberikan panduan yang bersesuaian mengikut situasi semasa. Pengalaman saya sendiri dalam mengaplikasikan teknologi ini menunjukkan bahawa keberkesanan komunikasi dan pemahaman jemaah dapat ditingkatkan, sekaligus memperkasakan proses bimbingan secara digital yang lebih interaktif dan responsif (Alami & Osman, 2020). Selain daripada aspek penyampaian maklumat, penggunaan AI juga dapat menyumbang kepada aspek pengurusan dan penilaian kesiapsiagaan jemaah secara berterusan. Melalui platform yang berasaskan AI, seperti aplikasi mudah alih dan sistem automatik, jemaah dapat mengakses maklumat serta latihan secara fleksibel dan berterusan tanpa batasan masa dan tempat. Ini turut membantu dalam meningkatkan motivasi dan keyakinan jemaah menjalankan ibadah haji dengan lebih teratur dan penuh yakin.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=