E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 502 Populasi dan Sampel Populasi kajian terdiri daripada syarikat pengendali umrah berlesen di Malaysia. Melalui kaedah persampelan bertujuan (purposive sampling) , beberapa syarikat yang memenuhi kriteria ditetapkan, iaitu mempunyai lesen sah dan pengalaman menguruskan jemaah dalam jumlah yang signifikan. Responden terdiri daripada Ustaz Ubaidullah, unit pengurusan operasi dari Nuh Travel. Manakala wakil daripada Wira Saujana Travel Tour adalah Encik Mohamad Qusyairi daripada pengurusan pemasaran. Selain itu, Ustaz Ahmad Lutfi iaitu bekas penasihat Golden Hajj Travel juga sudi berkongsi maklumat dan pandangan. Dan yang terakhir adalah Puan Raihan Nazlin iaitu pengurus akaun Suffah Travel. Kaedah Pengumpulan Data Data dikumpulkan melalui temu bual berstruktur, yang membolehkan penyelidik menanyakan soalan berpandukan objektif kajian dan soalan telah disiapkan dalam satu set untuk dikemukakan kepada responden. Temu bual dijalankan secara bersemuka dan dalam talian mengikut kesesuaian responden. Setiap temu bual dirakam dengan kebenaran responden . Data tambahan turut diperoleh daripada akhbar berita serta kenyataan daripada laporan kerajaan. Kaedah Analisis Data Data dianalisis menggunakan analisis tematik, iaitu dengan mengenal pasti pola, kategori, dan isu utama daripada hasil temu bual. Proses analisis melibatkan pembacaan berulang, pengkodan data, pengelompokan kategori, serta pembentukan tema yang menjawab persoalan kajian. Triangulasi melalui dokumen rasmi digunakan untuk menyokong dan mengesahkan dapatan temu bual. Kesahan dan Kebolehpercayaan Kesahan data dipastikan melalui triangulasi sumber, iaitu dengan membandingkan data temu bual dengan dokumen sokongan. Dengan ini data yang diterima dipadankan dengan laporan rasmi kerajaan dan maklumat daripada akhbar berita. ANALISA DAN DAPATAN KAJIAN Analisis ini menggunakan pendekatan bertema (thematic analysis) dengan mengekstrak tema utama daripada jawapan responden. Bagi memudahkan kajian , setiap agensi telah diberikan kod tertentu (A1 – A4). Melalui pendekatan ini, dapatan kajian dapat diringkaskan dalam bentuk tema, petikan ringkas responden, serta naratif yang menggambarkan pola persamaan dan perbezaan pandangan. Hasil dapatan ini memberi gambaran yang lebih mendalam tentang sokongan, kebimbangan, kesan, serta cadangan penambahbaikan dasar tersebut terhadap industri umrah dan di Malaysia. Analisis Kualitatif Tematik Analisis kualitatif tematik ialah satu kaedah penyelidikan yang digunakan untuk mengenal pasti, menganalisis, dan melaporkan corak atau tema yang wujud dalam data kualitatif. Kaedah ini menumpukan kepada makna di sebalik jawapan atau pengalaman responden dengan mengelompokkan maklumat kepada tema-tema utama yang berkaitan dengan soalan kajian. Melalui analisis tematik, penyelidik dapat menonjolkan pola, persamaan, perbezaan, dan hubungan antara tema, sekaligus memberikan gambaran yang lebih mendalam dan sistematik tentang fenomena yang dikaji. Pendekatan ini membolehkan data naratif seperti temubual, perbincangan, atau pemerhatian dianalisis secara berstruktur, sehingga membantu memahami konteks, motivasi, dan perspektif responden secara menyeluruh.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=