E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 489 PSIKOSPIRITUAL JEMAAH HAJI MALAYSIA: CABARAN KESABARAN, DISIPLIN DAN KEHIDUPAN BERJEMAAH PADA MUSIM HAJI Mohd Shamsul Hakim bin Abd Samad Universiti Sains Islam Malaysia, Negeri Sembilan, Malaysia Emel : shamsul@usim.edu.my ABSTRAK Ibadah Haji merupakan sebuah perjalanan ibadah yang menggabungkan kekuatan fizikal, emosi, dan spiritual. Bagi jemaah Malaysia, cabaran utama bukan hanya berkaitan dengan aspek kesihatan tubuh dan logistik, tetapi juga aspek psikospiritual yang menuntut kesabaran, disiplin, serta penghayatan kehidupan berjemaah. Kepadatan jutaan jemaah dari pelbagai bangsa dan latar budaya memerlukan tahap pengurusan jiwa yang tinggi, kemampuan menundukkan ego, serta daya tahan rohani ketika berhadapan dengan kesukaran. Kajian ini menekankan kepentingan adab, empati, dan tazkiyah al-nafs (penyucian jiwa) dalam mendepani tekanan emosi, keletihan fizikal, dan interaksi sosial sepanjang ibadah. Analisis turut menghubungkan konsep sabr , husn al-khuluq , dan maqasid syariah dengan pendekatan kesejahteraan mental-spiritual (mental wellness) sebagai asas persediaan haji yang lebih holistik. Hasil perbincangan mencadangkan agar modul bimbingan haji Malaysia lebih menekankan aspek psikospiritual supaya jemaah bukan sahaja melaksanakan ibadah dengan sempurna, tetapi juga menzahirkan akhlak berjemaah yang mencerminkan keharmonian Islam di persada dunia. Kata kunci: haji; psikospiritual; adab; tazkiyah al-nafs; mental wellness; jemaah Malaysia PENDAHULUAN Ibadah Haji adalah rukun Islam kelima yang menjadi kemuncak pengabdian diri seorang Muslim. Ia menggabungkan dimensi fizikal, mental, dan spiritual dalam suasana berbilang bangsa, bahasa, dan budaya. Statistik Tabung Haji menunjukkan setiap tahun puluhan ribu jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji di samping jutaan umat Islam lain di Tanah Suci. Pelbagai situasi terpaksa ditempuhi oleh para jemaah haji sepanjang tempoh penyempurnaan ibadah tersebut di samping pelbagai ujian dan cabaran. Namun, antara cabaran utama yang sering dihadapi bukan hanya sekadar dari sudut kesihatan tubuh, keperluan logistik, atau kewangan, tetapi juga dari aspek psikospiritual – iaitu kekuatan mengawal jiwa, emosi, dan perilaku agar sejalan dengan nilai sabar, tawadhu’, dan b erperilaku mulia dalam menyempurnakan ibadah yang agung ini. Dalam keadaan kepadatan jutaan manusia yang hadir bagi memenuhi tuntutan rukun Islam yang kelima tersebut, di samping cabaran berdepan tekanan emosi kesan dari meninggalkan kampung halaman, berjauhan dengan insan terdekat, menempuhi kebiasaan dan budaya yang baharu, sememangnya terdapat keperluan untuk menghayati nilai-nilai murni seperti kesabaran, disiplin, dan kehidupan berjemaah. Justeru, tulisan ini mengupas aspek psikospiritual jemaah Malaysia dengan menekankan tazkiyah al- nafs , adab, dan akhlaq sebagai kerangka penting bagi kesejahteraan mental-spiritual sepanjang musim haji.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=