E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 476 KERANGKA PEMBELAJARAN DIGITAL BERASASKAN AI UNTUK LATIHAN PEMBIMBING HAJI DI ERA KECERDASAN BUATAN ¹Mohd Azree Idris ( corresponding author ) , ² Amran bin Mat Arriffen, ³Mohd Ariff Bin Ahmad Tarmizi, ⁴Mohd Zawawi Bin Bostam, ⁵Mohd Zin Mokhtar 1, 3, 5 Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Malaysia; ²SMK Putrajaya Presint 9(1), Malaysia; ⁴Tabung Haji (LHTA), Malaysia Emel : azree@uniten.edu.my ABSTRAK Sistem bimbingan haji di Malaysia masih bergantung kepada kaedah tradisional dengan cabaran standardisasi kandungan, keterbatasan masa latihan, dan kesukaran pemantauan kompetensi pembimbing. Kajian lepas mendapati variasi ketara dalam kualiti bimbingan antara negeri yang mempengaruhi persediaan jemaah. Tiada platform khusus berasaskan AI untuk melatih dan menilai kompetensi pembimbing haji secara sistematik. Kajian ini membangunkan kerangka konseptual platform pembelajaran digital berasaskan AI untuk latihan pembimbing haji dengan mengadaptasi prinsip Mastery Learning dan pembelajaran adaptif. Metodologi menggunakan pendekatan Design Science Research melalui analisis keperluan, kajian literatur, dan pembangunan model konseptual bersama pakar fiqh dan teknologi. Kerangka yang dicadangkan merangkumi: (1) bank soalan interaktif hukum-hakam haji dengan algoritma pembelajaran adaptif, (2) sistem penilaian berterusan kompetensi pembimbing, dan (3) dashboard analitik untuk pemantauan prestasi nasional. Platform ini meningkatkan standardisasi latihan, penilaian objektif, dan akses saksama pembimbing di seluruh Malaysia. Cabaran pelaksanaan termasuk validasi kandungan fiqh oleh panel ulama, integrasi dengan sistem Tabung Haji, dan penerimaan teknologi dalam konteks agama. Kajian menyumbang kepada wacana AI dalam pendidikan Islam dan mencadangkan model adaptif untuk latihan pembimbing ibadah lain. Kata kunci: Kecerdasan Buatan, Pembelajaran Adaptif, Bimbingan Haji, Latihan Pembimbing, Design Science Research PENDAHULUAN Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima dan wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang berkemampuan. Di Malaysia, pengurusan haji dikendalikan oleh Tabung Haji (Lembaga Tabung Haji) yang bertanggungjawab memastikan setiap jemaah mendapat bimbingan yang komprehensif sebelum menunaikan ibadah haji. Peranan pembimbing haji adalah kritikal dalam memastikan jemaah memahami dengan jelas rukun, wajib, sunat dan larangan dalam ibadah haji. Sistem latihan pembimbing haji semasa masih banyak bergantung kepada kaedah tradisional bersemuka dengan pelbagai cabaran. Antara cabaran utama ialah ketidakseragaman kandungan latihan di antara negeri, keterbatasan masa latihan yang diberikan, dan kesukaran dalam pemantauan kompetensi pembimbing secara objektif. Kajian-kajian lepas turut mendapati terdapat variasi yang ketara dalam kualiti bimbingan yang diberikan oleh pembimbing dari pelbagai negeri, sekali gus mempengaruhi tahap persediaan dan kefahaman jemaah terhadap ibadah haji.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=