E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 439 transaksi, identiti pelaksana, serta status pelaksanaan badal haji secara telus dan masa nyata. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang perlu diperketat bagi membanteras penyelewengan, khususnya terhadap individu atau entiti yang menawarkan khidmat melalui media sosial tanpa kawalan, menggunakan permit palsu, atau menetapkan kadar upah yang tidak munasabah sehingga mengeksploitasi pewakil. Dengan adanya regulasi rasmi yang komprehensif, Maqasid al-Syariah dapat dipelihara secara lebih menyeluruh, khususnya dari segi pemeliharaan agama ( ḥifẓ al - dīn ), harta ( ḥifẓ al- māl ), dan maruah ( ḥifẓ al - ʿirḍ ) bagi pewakil dan pelaksana yang terlibat. KESIMPULAN Pelaksanaan badal haji merupakan solusi ibadah yang dibenarkan syarak bagi mereka yang tidak berupaya menunaikan haji sendiri, sama ada kerana kematian atau keuzuran yang berterusan. Namun, hasil kajian ini menunjukkan bahawa realiti semasa memperlihatkan pelbagai cabaran yang boleh menjejaskan integriti ibadah tersebut. Antara isu utama yang dikenal pasti ialah krisis kepercayaan terhadap amanah pelaksana, peningkatan kos yang membebankan pewakil, eksploitasi melalui tawaran harga yang tidak munasabah, serta ketiadaan kerangka regulasi berstruktur yang dapat mengawal selia perkhidmatan ini. Lebih membimbangkan, terdapat bukti penyelewengan dalam bentuk pelaksanaan berganda oleh seorang pelaksana, penggunaan permit tidak sah, serta penglibatan agen yang hanya mementingkan keuntungan tanpa memikul tanggungjawab syarie. Walau bagaimanapun, kajian ini turut mendapati bahawa apabila akad dilakukan secara langsung antara pewakil dan pelaksana yang dikenali, tahap amanah dan kejujuran lebih terjamin. Peranan agen pula, meskipun penting sebagai penghubung antara pewakil dan pelaksana, memerlukan garis panduan serta pemantauan yang ketat agar tidak membuka ruang kepada penipuan atau eksploitasi. Cadangan penambahbaikan yang dikemukakan, seperti penetapan kriteria pelaksana, ketelusan maklumat kuota, akses langsung pewakil kepada pelaksana, kewajipan penyediaan bukti dokumentasi, serta pengenalan regulasi dan audit pemantauan oleh institusi berautoriti, merupakan langkah asas yang perlu dipertimbangkan secara serius. Reformasi menyeluruh ini bukan sahaja dapat mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan badal haji, tetapi juga memastikan ibadah tersebut benar-benar menepati tuntutan maqasid syariah, khususnya dalam aspek pemeliharaan agama ( ḥifẓ al - dīn ), harta ( ḥifẓ al - māl ), dan maruah ( ḥifẓ al - ʿirḍ ). Justeru, pelaksanaan badal haji pada masa kini menuntut usaha kolektif dan langkah konkrit daripada pewakil, pelaksana, agen, serta institusi berautoriti seperti Tabung Haji, JAKIM, dan Jabatan Mufti. Tanpa tindakan yang jelas dan bersepadu, risiko penyelewengan akan terus berulang, sekali gus mencemarkan kesucian ibadah dan menjejaskan tujuan utama syariat dalam memelihara kemaslahatan umat. Penghargaan: Kajian ini tidak ditaja oleh mana-mana pihak.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=