E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 427 PELAKSANAAN BADAL HAJI: ISU KONTEMPORARI DAN PENYELESAIAN BERASASKAN MAQASID AL-SHARIAH 1 Mohd Harifadilah Rosidi, 2 Yasmin Hanani Mohd Safian, 3 Amiruddin Mohd Sobali, 4 Nur Afifi Alit, 5 Abu Al Laith Nizamuddin 1,2 Fakulti Syariah dan Undang-Undang, 3 Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia; 4,5 Fa Izin International Travel & Tours Sdn. Bhd Emel: harifadilahrosidi@usim.edu.my ABSTRAK Pelaksanaan badal haji merupakan rukhsah syarak bagi individu yang meninggal dunia atau mengalami keuzuran berterusan, namun dalam realiti semasa ia berdepan pelbagai cabaran berkaitan integriti, ketelusan, dan penguatkuasaan. Kajian ini bertujuan menilai isu-isu utama serta mengemukakan cadangan kerangka pelaksanaan yang berpaksikan prinsip Maqasid al-Shariah. Pendekatan kualitatif digunakan melalui temu bual bersama tujuh informan, termasuk bekas pelajar Universiti Umm al- Qurā, petugas haji Malaysia, dan pelaksana individu. Analisis tematik mengenal pasti empat isu utama: (i) krisis kepercayaan terhadap amanah dan kelayakan pelaksana, (ii) kadar upah yang tidak sejajar dengan realiti kos haji semasa, (iii) eksploitasi serta penipuan melalui tawaran harga rendah dan agen perantara tidak telus, dan (iv) ketiadaan regulasi serta pemantauan berstruktur. Dapatan juga menunjukkan persepsi negatif terhadap pelaksana dari Indonesia yang kerap dikaitkan dengan bukti pelaksanaan meragukan dan modus operandi penipuan, berbeza dengan pelaksana dari Patani yang dianggap lebih amanah kerana latar belakang agama yang kukuh serta hubungan budaya rapat dengan komuniti Malaysia. Berdasarkan dapatan, kajian ini mencadangkan kerangka pelaksanaan badal haji yang menekankan tiga dimensi utama: keabsahan, melalui penetapan kriteria pelaksana yang sah, berilmu, dan telah menunaikan haji untuk dirinya sendiri; ketelusan, melalui pendedahan maklumat kuota, akses langsung pewakil kepada pelaksana, serta kewajipan dokumentasi setiap rukun dan wajib haji; dan akauntabiliti, melalui regulasi rasmi, pendaftaran wajib, serta audit pemantauan oleh Tabung Haji dan institusi agama. Kesimpulannya, reformasi menyeluruh terhadap sistem badal haji amat diperlukan agar ibadah ini benar-benar menepati tuntutan Maqasid al-Shariah, khususnya dalam aspek pemeliharaan agama (ḥifẓ al - dīn), harta (ḥifẓ al - māl), dan maruah (ḥifẓ al - ʿirḍ), sekali gus menjamin kesahihan ibadah serta melindungi pewakil daripada sebarang bentuk eksploitasi. Katakunci: Badal Haji, Amanah, Maqasid al-Shariah, Fiqh Ibadah, Integriti Agama PENDAHULUAN Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang diwajibkan sekali seumur hidup ke atas setiap Muslim yang memenuhi syarat istitha‘ah (kemampuan), merangkumi kesihatan fizikal, kestabilan kewangan, dan jaminan keselamatan perjalanan (al-Qaradawi, 1995). Sebagai ibadah yang menggabungkan dimensi māliyah (kewangan) dan badaniyah (fizikal), haji melambangkan kemuncak ketundukan seorang Muslim kepada Allah SWT melalui rangkaian ritual yang berpaksikan tauhid, ketaatan, kerendahan hati, dan pengorbanan diri. Walaupun kewajipan ini hanya dituntut sekali seumur hidup, realiti menunjukkan sebahagian umat Islam tidak berupaya menunaikannya akibat keuzuran berterusan, faktor usia lanjut, atau meninggal dunia sebelum sempat menunaikan ibadah tersebut. Sebagai manifestasi prinsip al- taysīr (kemudahan) dalam Syariah, hukum Islam membenarkan
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=