E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 390 APLIKASI AI DALAM PENDIDIKAN DAN BIMBINGAN MANASIK HAJI: ULASAN SISTEMATIK TERHADAP TREND DAN IMPAK 1 Suhaimi bin Samad ( Corresponding author ), 2 Noor Azua binti Mohd Bahatera @Mohd Putera , 3 Nor Hasanah binti Mohd Yusoff, Jabatan Pengajian Am, Politeknik Port Dickson Emel: - ABSTRAK Kecerdasan Buatan (AI) semakin memberi impak signifikan dalam transformasi pendidikan Islam, termasuk bimbingan manasik haji. Artikel ini melaporkan satu Ulasan Sistematik Literatur (SLR) mengenai aplikasi AI dalam pendidikan dan bimbingan haji dengan meneliti trend, impak serta cabaran pelaksanaannya. Hasil analisis mendapati AI diaplikasikan melalui aplikasi mudah alih, realiti maya (VR), realiti terimbuh (AR), chatbot, sistem pakar dan analitik data bagi meningkatkan kefahaman serta pengalaman jemaah dalam persediaan haji. AI memperkukuh proses pembelajaran manasik haji melalui interaktiviti, personalisasi, dan simulasi praktikal. Namun cabaran berkaitan kesahan syariah, literasi digital jemaah, dan keselamatan data masih perlu ditangani. Artikel ini mencadangkan pembangunan kerangka integrasi AI yang patuh syariah dan inklusif bagi memastikan teknologi dimanfaatkan secara optimum dalam pendidikan dan bimbingan haji di era digital. Katakunci: Kecerdasan Buatan, Bimbingan Haji, Manasik Haji, Pendidikan Islam, PENDAHULUAN Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan oleh setiap Muslim yang berkemampuan dari segi fizikal, mental, kewangan dan logistik. Ia bukan sekadar perjalanan spiritual, tetapi juga satu pengalaman ibadah yang menuntut persediaan menyeluruh meliputi aspek kerohanian, fizikal, emosi, serta pengurusan diri. Dengan jumlah jemaah haji yang terus meningkat saban tahun, pelbagai cabaran baharu muncul, antaranya isu kesesakan, keselamatan, pergerakan logistik, serta pengurusan kesihatan jemaah. Hal ini menjadikan proses bimbingan manasik haji semakin kompleks dan memerlukan pendekatan inovatif bagi memastikan kelancaran ibadah (Amran Harun & Mohd Nazir, 2025). Dalam konteks pendidikan Islam, kemajuan teknologi digital khususnya Kecerdasan Buatan ( Artificial Intelligence, AI) membuka peluang besar untuk memperkasa kaedah bimbingan haji. AI bukan sahaja mampu menyediakan pengalaman pembelajaran interaktif, malah berupaya menawarkan pendekatan yang lebih peribadi, responsif, dan berkesan. Sebagai contoh, penggunaan AI dalam bidang pembelajaran al- Quran telah terbukti membantu pelajar melalui aplikasi pengecaman bacaan, interaksi berasaskan suara, serta modul pembelajaran yang disesuaikan mengikut tahap individu (Nasir, Maricar, & Syed Hassan, 2024). Hal ini menunjukkan bahawa konsep dan pendekatan AI yang digunakan dalam pendidikan al-Quran boleh diaplikasikan dalam bimbingan haji bagi tujuan yang serupa, seperti menyediakan modul simulasi ibadah, latihan maya, serta pemantauan berasaskan data.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=