E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Ipoh , Perak, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 368 MODUL MANASIK HAJI DALAM MENINGKATKAN KEFAHAMAN DAN KUALITI IBADAH JEMAAH HAJI MALAYSIA 1 Mohamad Faisal Ahmad , 2 Maria Mohammad , 3 Mohd Isa Hamzah 1, 2 Politeknik Merlimau, Melaka; 3 Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor Emel : hjmohamad@pmm.edu.my ABSTRAK Kajian ini bertujuan menilai secara mendalam keberkesanan modul manasik haji yang dilaksanakan oleh Lembaga Tabung Haji (LTH) Malaysia melalui empat fasa utama iaitu Kursus Asas Haji (KAH), Kursus Intensif Haji (KIH), Kursus Khas Haji (KKH) dan Kursus Perdana Haji (KPH). Modul-modul ini menjadi medium utama dalam memberikan bimbingan ilmu dan kemahiran praktikal kepada bakal jemaah haji. Kajian ini menggunakan pendekatan analisis kandungan terhadap dokumen rasmi modul LTH, laporan penilaian kursus, serta hasil penyelidikan akademik terdahulu yang melibatkan peserta kursus dan data daripada PEKTA dan PIHTAS yang terpilih dari kalangan petugas Haji Malaysia. Dapatan kajian menunjukkan bahawa keberkesanan modul bimbingan LTH terbukti dalam meningkatkan kefahaman asas jemaah khususnya berkaitan rukun dan wajib haji, di samping membina keyakinan dalam aspek praktikal seperti tawaf, sa‘i dan amalan berwukuf di Arafah. Walau bagaimanapun, jurang kefahaman masih wujud dalam beberapa aspek kritikal termasuk larangan ihram, jenis-jenis dam, serta isu khusus berkaitan wanita seperti haid, nifas dan istihadah. Kekeliruan ini sering menjadi punca kepada kesilapan amali semasa ibadah di Tanah Suci dan mencetuskan jumlah aduan yang tinggi dalam rekod PIHTAS. Kajian ini turut membandingkan pendekatan Malaysia dengan beberapa negara Islam lain. Indonesia menekankan latihan intensif di peringkat daerah dengan penglibatan masjid, Brunei melaksanakan bimbingan peribadi berbentuk majlis ta‘lim, manakala Turki lebih ke hadapan dengan modul interaktif berasaskan media digital. Perbandingan ini menunjukkan bahawa sistem Malaysia sudah tersusun, namun masih mempunyai potensi besar untuk diperkukuh melalui inovasi pedagogi moden. Sehubungan itu, artikel ini mencadangkan beberapa penambahbaikan termasuk penerapan pendekatan mikro-pembelajaran berstruktur, pengintegrasian simulasi amali menggunakan teknologi realiti maya (VR) dan Teknologi Digitalisasi (AR), pembangunan aplikasi mudah alih interaktif yang merangkumi pokok keputusan pelaksanaan dam serta soalan yang berkaitan dengannya, serta penghasilan modul khas wanita. Kesemua cadangan ini dijangka dapat meningkatkan tahap kefahaman, kemahiran praktikal dan kesediaan jemaah haji Malaysia, seterusnya menyokong pencapaian objektif ke arah peningkatan ibadah haji yang mabrur. Katakunci: Manasik haji, Tabung Haji, Kursus Asas Haji, modul bimbingan, teknologi pendidikan Islam, inovasi digital, haji mabrur. PENDAHULUAN Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang mempunyai dimensi kerohanian, sosial, dan simbolik yang sangat tinggi. Ia bukan sahaja menuntut kemampuan dari segi kewangan dan fizikal, tetapi juga pengetahuan mendalam mengenai rukun, wajib, syarat dan larangan dalam pelaksanaannya. Bagi umat Islam Malaysia, ibadah haji menjadi impian utama yang sering dirancang sejak usia muda, dengan sebahagian besar jemaah mendaftar menunggu giliran selama bertahun-tahun. Justeru, persediaan ilmu berkaitan manasik haji menjadi aspek penting bagi memastikan ibadah dilaksanakan dengan sahih, tenang, dan mencapai objektif haji mabrur. Malaysia merupakan antara negara yang diiktiraf dunia dalam pengurusan haji yang sistematik melalui Lembaga Tabung Haji (LTH). Sejak penubuhannya pada tahun 1963, LTH bukan sahaja mengurus
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=