E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 318 PERSEPSI PENERIMAAN JEMAAH HAJI TERHADAP HIMPUNAN RESOLUSI MUZAKARAH HAJI PERINGKAT KEBANGSAAN (MHPK) 1 Mohd Zakhiri Md Nor ( corresponding author ), 2 Norazlina Abd Wahab , 3 Mohd Badrul Hakimi Daud , 4 Muhamad Fikri Aziz, 5 Suraiya Hashim, 6 Muhammad Fakhur Ridzwan Othman, 6 Nur Syaedah Kamis 1,2,3,4,5 Pusat Pengajian Perniagaan Islam, Universiti Utara Malaysia, Malaysia 6 Lembaga Tabung Haji 7 Pusat Pengajiaan Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia, Malaysia Emel: zakhiri@uum.edu.my , ABSTRAK Kajian ini meneliti persepsi penerimaan jemaah haji terhadap resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK). MHPK berfungsi sebagai forum autoritatif dalam menetapkan panduan ibadah haji di Malaysia, namun tahap penerimaan jemaah terhadap resolusi ini masih belum jelas. Penerimaan merujuk kepada maklum balas atau tindak balas jemaah haji terhadap keputusan, peraturan, atau pandangan hukum yang terkandung dalam resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK), khususnya dalam menangani isu-isu semasa berkaitan pelaksanaan ibadah haji. Menggunakan pendekatan kuantitatif melalui soal selidik ke atas jemaah haji Malaysia yang telah menunaikan haji dalam tempoh lima tahun terakhir, kajian ini menganalisis tahap penerimaan terhadap resolusi tersebut. Kebaharuan kajian ini terletak pada penilaian empirikal secara khusus terhadap penerimaan resolusi MHPK yang sebelum ini kurang diberi perhatian dalam literatur. Dari sudut praktikal, kajian ini diharapkan dapat membantu pihak berkuasa haji merangka strategi komunikasi, pedagogi dan inovasi latihan yang lebih efektif agar resolusi MHPK bukan sahaja difahami, tetapi juga diamalkan dengan lebih meluas oleh jemaah haji Malaysia. Katakunci: Persepsi, Penerimaan, Jemaah Haji, Resolusi MHPK, Kajian Kuantitatif PENDAHULUAN Penerimaan merujuk kepada maklum balas atau reaksi jemaah haji terhadap ketetapan, garis panduan, atau pandangan hukum yang telah diputuskan melalui Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK), khususnya berkenaan isu-isu kontemporari yang berkaitan dengan pelaksanaan ibadah haji. Tahap penerimaan dalam kalangan jemaah haji dapat dianalisis melalui beberapa dimensi utama. Pertama, aspek kefahaman, iaitu sejauh mana jemaah memahami maksud serta rasional di sebalik resolusi yang digariskan. Kedua, dimensi persetujuan yang merujuk kepada tahap sokongan atau kesepakatan jemaah terhadap kandungan resolusi tersebut. Ketiga, keyakinan yang mencerminkan tahap kepercayaan jemaah terhadap autoriti dan kredibiliti resolusi yang dikeluarkan oleh MHPK sebagai panduan sah dalam pelaksanaan ibadah. Keempat, pelaksanaan yangmerujuk kepada kesediaan jemaah untuk mematuhi dan melaksanakan ketetapan tersebut semasa menunaikan haji. Kelima, sikap yang merangkumi pandangan umum atau tanggapan jemaah terhadap kewajaran, kemudahan, dan kesesuaian resolusi dalam konteks situasi sebenar yang mereka hadapi. Teori Penerimaan (Adoption/Acceptance Theory) memberikan kerangka konseptual untuk memahami bagaimana dan mengapa individu menerima atau menolak sesuatu idea, dasar, inovasi, atau amalan baharu sepertimana ditunjukkan dalam Rajah 1 . Teori ini menekankan beberapa faktor utama seperti tahap kefahaman, sikap, kepercayaan, serta kesesuaian dengan keperluan dan nilai peribadi individu. Dalam konteks penerimaan jemaah haji terhadap resolusi yang dibentangkan oleh MHPK, teori ini digunakan untuk menjelaskan bagaimana pengetahuan jemaah terhadap kandungan resolusi, sikap mereka terhadap perubahan atau ketetapan

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=