E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 315 Peserta-perserta KAH akan duduk bersila sambil mendengar penerangan dan pencerahan daripada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA). Ceramah yang disampaikan oleh PEKTA berdasarkan modul yang telah disediakan oleh Bahagian Bimbingan, TH. Buku nota KAH yang diberikan secara percuma kepada peserta KAH pula agak lewat diterima oleh mereka. Walau bagaimanapun, kesulitan ini dapat diatasi dengan modul dalam bentuk PDF juga dapat dimuat turun melalui laman sesawang TH. Cabaran yang dihadapi oleh peserta KAH yang berumur ialah mereka kurang mahir dalam penggunaan telefon pintar. Mereka tidak tahu cara untuk memuat turun slide tersebut sehingga menyebabkan mereka hanya menjadi pendengar sahaja. Selain itu, slide modul ini dipersembahkan dalam bentuk infografik iaitu gambar dan tulisan sahaja. Perkara ini menyebabkan sebahagian peserta KAH sukar untuk membayangkan suasana semasa berada di masyaír. Menurut Sharin Awaludin (2025), lebih 30 peratus jemaah haji Malaysia setiap tahun adalah kali pertama menjejak kaki di Tanah Suci. Selain itu, peserta KAH terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang pendidikan. Menurut Suppiah et.al (2012), terdapat pelbagai gaya pembelajaran iaitu audio, visual dan kinestetik. Manakala menurut Nor Aqilah Mohamad Suhaimi & Aliza Alias (2022), penggunaan bahan bantu mengajar (BBM) berbentuk auditori, visual dan kinestetik akan menarik minat dan meningkatkan prestasi murid. Individu yang bersifat visual sukar memahami sesuatu perkara jika menerusi penerangan lisan sahaja. Mereka perlu melihat agar perkara tersebut mudah difahami dan diingati. Hal ini selari dengan kajian yang telah dijalankan oleh Masela & Subekti (2021). Mulai tahun lepas iaitu KAH musim 1446H, Bahagian Bimbingan, TH telah membuat penambahbaikan iaitu sebelum bermula KAH, tayangan video akan dibuat dalam tempoh masa 15 minit. Video ini berkaitan suasana di Tanah Suci terutamanya semasa operasi masya’ir . Perkara ini boleh diteruskan dengan dimasukkan video berkaitan ibadat haji seperti tawaf, saie dan bercukur dalam slide KAH. Namun begitu berlaku kekangan sehingga menjejaskan objektif yang ingin dicapai. Sebahagian masjid tidak mempunyai kemudahan audio yang membolehkan peserta KAH mendengar suara video tersebut. Ini menimbulkan kebosanan dalam diri peserta KAH. PENUTUP Berdasarkan daripada hasil perbincangan dan kajian terdahulu, dapatlah dirumuskan bahawa pengaplikasian aspek digitalisasi dan teknologi maklumat dalam KAH sedikit sebanyak dapat membnatu meningkatkan kefahaman terhadap peserta KAH sebagai persediaan sebelum ke Tanah Suci bagi memperoleh haji yang mabrur. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa lagi aspek teknikal dan penambah baikan yang wajar dilakukan oleh TH berdasarkan cadangan, maklum balas dan aduan yang diterima dari semasa ke semasa. Ini penting agar pengiktirafan yang diberikan kepada TH selaku antara institusi pengurusan ibadah haji terkemuka di dunia akan lebih berwibawa dan sentiasa dijadikan rujukan oleh negara-negara Islam yang lain terutamanya dalam aspek bimbingan dan pengurusan ibadah haji di Tanah Suci. PENGHARGAAN Sekalung perhargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Tabung Haji khususnya Bahagian Bimbingan TH yang sudi menaja yuran bagi pembentangan artikel ini.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=