E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
M MANASIK2025 Ipoh , Perak, Malaysia, 7-8 Oktober 2025 237 IMPLIKASI QIRAAT TERHADAP FIQH DAN PENGHAYATAN HAJI DAN UMRAH: ANALISIS LAFAZ AL-QURAN Aishah binti Juri, Khairul Anuar bin Abu Othman Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam, Selangor; Institut Aminuddin Baki KPM, Negeri Sembilan Emel: aishah.juri@ipgm.edu.my , ABSTRAK Kajian ini membincangkan implikasi qirāʾāt al - Qurʾān terhadap fiqh dan penghayatan ibadah haji serta umrah dengan memberi fokus kepada analisis ayat 125 Surah al-Baqarah, khususnya lafaz wa- ittakhidhū/wa - ittakhadhū dan Ibrāhīm/Ibrāhām . Reka bentuk kajian menggunakan pendekatan kualitatif berasaskan analisis teks primer dan sekunder, melibatkan kitab tafsir, karya qirāʾāt, serta rujukan fiqh empat mazhab. Dapatan kajian menunjukkan bahawa perbezaan qirāʾāt bukan sahaja menzahirkan kelua san makna (taʿaddud al - maʿānī), tetapi juga memberi kesan langsung terhadap hukum syarak. Bacaan wa- ittakhidhū (amr) menekankan perintah Allah agar menjadikan Maqām Ibrāhīm sebagai tempat solat, manakala bacaan wa- ittakhadhū (khabar) menekankan aspek sejarah pensyariatan. Kedua-duanya saling melengkapi antara dimensi normatif dan deskriptif. Dari segi fiqh, perbezaan ini melahirkan variasi pandangan antara mazhab tentang hukum solat dua rakaat selepas tawaf sama ada wajib dengan dam atau sunnah muʾakkadah. Sementara itu, perbezaan bacaan nama Ibrāhīm/Ibrāhām memperlihatkan kesinambungan sejarah linguistik dan akar bahasa, sekali gus meneguhkan kedudukan maqām sebagai syiʿar tauhid yang hidup. Variasi ini juga menzahirkan titik penyatuan antara warisan Nabi Ibrāhīm dengan risalah penutup Nabi Muḥammad SAW dalam kesinambungan ibadah dan makna. Kajian ini menegaskan bahawa qirāʾāt berfungsi bukan sahaja sebagai asas istinbāṭ hukum yang mengatur praktis fiqh manāsik, tetapi juga sebagai medium yang memperhalus penghayatan makna serta menyuburkan dimensi rohani ibadah haji dan umrah dalam kalangan jemaah kontemporari. Kata kunci: qirāʾāt, fiqh, tafsir, maqām Ibrāhīm, haji, umrah PENDAHULUAN Ilmu qirāʾāt al - Qurʾān merupakan salah satu cabang utama dalam disiplin ʿulūm al - Qurʾān yang telah mendapat perhatian para sarjana sejak zaman awal Islam hingga era kontemporari. Ia dinilai sebagai disiplin yang mulia kerana al- Qurʾān bukan sekadar teks su ci yang dibaca, tetapi juga sumber utama pedoman hidup umat Islam yang diturunkan dengan kepelbagaian bacaan. Keistimewaan al- Qurʾān melalui variasi bacaan yang sahih (mutawātirah) menjadi bukti keluasan rahmat Allah serta kemudahan yang dianugerahkan kepa da umat daripada pelbagai latar dialek. Oleh itu, pengajian qirāʾāt tidak hanya berperanan memelihara kesucian teks al- Qurʾān, tetapi turut memperkayakan pemahaman terhadap maknanya. Para ulama menegaskan bahawa kepelbagaian qirāʾāt memberi implikasi besar terhadap tafsir, fiqh, dan pengamalan ibadah. Dari sudut tafsir, qirāʾāt membuka ruang taʿaddud al - maʿānī (keluasan makna) yang memungkinkan satu ayat mengandungi lebih daripada satu dimensi penafsiran tanpa membawa pertentangan. Dari sudut fiqh pula, perbezaan qirāʾāt berpotensi melahirkan pelbagai natijah hukum, termasuk dalam menentukan kedudukan sesuatu ibadah sebagai wajib, sunat, atau rukun. Sehubungan itu, qirāʾāt mutawātirah diterima sebagai hujah syarʿi yang bersifat qatʿī, manakala kedudukan qirāʾāt shādhdhah terus menjadi perbahasan dalam kalangan fuqahāʾ dan uṣūliyyīn.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=