E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 199 KEESAHAN CHATGPT DALAM RUJUKAN HUKUM HAKAM HAJI BERDASARKAN KEPADA KEPUTUSAN MUZAKARAH HAJI KEBANGSAAN Anas Mohd Yunus, Mohd Rahim Ariffin, Ahmad Afif Abd Wahid Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terenggau Emel: anas@unisza.edu.my, Universiti Sultan Zainal Abidin, Malaysia ABSTRAK Kecerdasan buatan (AI) semakin mendapat perhatian dalam kalangan jemaah haji sebagai sumber rujukan pantas berkaitan hukum hakam ibadat haji. Walau bagaimanapun, timbul persoalan mengenai sejauh mana keesahan dan ketepatan maklumat yang diperoleh daripada AI apabila dibandingkan dengan keputusan rasmi Muzakarah Haji Kebangsaan yang menjadi rujukan autoritatif di Malaysia. Justeru, kajian ini dijalankan bagi menilai persamaan dan perbezaan antara dapatan AI dan keputusan Muzakarah Haji Kebangsaan dalam isu-isu berkaitan ibadat haji. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif dengan kaedah analisis dokumen sebagai teknik pengumpulan data, manakala analisis kandungan digunakan untuk meneliti ketepatan, keselarasan, serta kekangan penggunaan AI dalam konteks fatwa haji. Dapatan kajian diharap dapat memberikan gambaran awal tentang potensi serta limitasi penggunaan AI sebagai rujukan hukum ibadat haji, di samping menegaskan kepentingan merujuk kepada keputusan rasmi muzakarah sebagai panduan utama bagi memastikan kesahihan ibadah jemaah. Kata kunci: AI, haji, fatwa, muzakarah PENDAHULUAN Perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) telah membawa transformasi dalam pelbagai bidang, termasuk bidang keagamaan. Dalam konteks fiqh Islam, wujud kecenderungan masyarakat awam untuk mendapatkan jawapan tentang hukum hakam melalui aplikasi berasaskan AI seperti ChatGPT, Bing Chat, dan lain-lain (Rahman, 2023). Fenomena ini menimbulkan pelbagai persoalan berhubung autoriti keilmuan, kesahihan jawapan, dan implikasi terhadap kedudukan ulama sebagai rujukan utama. Kajian ini bertujuan menilai secara kritis peranan AI dalam memberikan jawapan hukum fiqh, dengan mengambil kira rujukan akademik, data empirikal, dan resolusi rasmi Muzakarah Haji Kebangsaan (Muzakarah Haji Kebangsaan, 2012). Dalam kertas ini, ia bertujuan untuk mengetahui adakah AI mampu memberikan jawapan yang berkaitan dengan masalah haji dengan tepat. Kemudian adakah jawapan yang diberikan itu selari dengan keputusan Muzakarah Haji Kebangsaan. Ia juga betujuan untuk mengetahui corak penerangan yang diberikan oleh AI. Ia penting kerana penggunaan yang semakin meluas di kalangan masyarakat. Justeru, dapatan ini boleh membantu pihak Tabung Haji khususnya dan menyedarkan masyarakat secara umumnya tentang kebergantungan teknologi AI dalam urusan agama.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=