E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 174 bermakna. Cabaran-cabaran yang dihadapi PIHTAS Wanita dalam memastikan pelaksanaan ibadah jemaah dapat disempurnakan dapat diselesaikan dengan kaedah terbaik. Berdasarkan dapatan dan rumusan kajian, beberapa cadangan praktikal dapat diketengahkan bagi memperkukuh peranan PIHTAS wanita dalam menangani permasalahan fiqh dan psikologi jemaah haji wanita. Pertama, peningkatan kompetensi melalui latihan berterusan wajar diberi perhatian, khususnya dalam aspek fiqh kontemporari serta pendekatan psikologi Islam agar PIHTAS wanita mampu memberi bimbingan yang lebih komprehensif dan responsif terhadap keperluan semasa jemaah. Kedua, integrasi teknologi dengan bimbingan bersemuka perlu dimantapkan. Walaupun AI dan medium digital tidak dapat menggantikan sepenuhnya peranan PIHTAS, namun ia boleh dijadikan pelengkap dalam penyampaian maklumat asas, manakala isu-isu yang lebih kompleks diselesaikan secara langsung melalui pertemuan individu atau kelompok kecil. Ketiga, penyediaan modul sokongan psikososial khusus untuk jemaah wanita amat penting, memandangkan cabaran emosi dan psikologi merupakan antara aspek yang paling dominan. Modul ini hendaklah dirangka berasaskan gabungan pendekatan kaunseling Islam, tarbiyah rohani, dan sokongan komuniti, yang boleh disampaikan secara praktikal oleh PIHTAS wanita. Akhir sekali, penyelidikan berterusan perlu dijalankan untuk menilai keberkesanan intervensi PIHTAS wanita serta mengenal pasti bentuk bimbingan baharu yang lebih sesuai dengan perubahan zaman. Dengan langkah ini, peranan PIHTAS wanita dapat diperkasa bukan sahaja dalam aspek penyelesaian masalah fiqh, tetapi juga dalam memastikan kesejahteraan psikologi dan emosi jemaah wanita sepanjang ibadah haji. PENUTUP Kajian ini secara jelas memperlihatkan bahawa peranan PIHTAS wanita dalam menyelesaikan permasalahan fiqh dan psikologi jemaah wanita amatlah signifikan. Walaupun perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) telah membuka ruang kepada medium bimbingan alternatif, dapatan menunjukkan bahawa ia masih belum mampu menggantikan sepenuhnya keperluan bimbingan secara bersemuka. Hal ini kerana terdapat persoalan fiqh yang memerlukan penjelasan terperinci, analisis mendalam serta pemahaman kontekstual yang hanya dapat diberikan melalui interaksi langsung antara pembimbing dengan jemaah. Selain itu, aspek psikologi dan emosi jemaah wanita tidak dapat ditangani secara efektif melalui teknologi semata-mata. PIHTAS wanita berperanan penting dalam mendengar, memahami, dan menyantuni permasalahan emosi dengan pendekatan empati, penuh hikmah, serta berlandaskan ilmu pengetahuan. Keupayaan mereka untuk menggabungkan kebijaksanaan intelektual dengan pendekatan spiritual menjadikan bimbingan yang diberikan lebih menyeluruh, sekali gus menguatkan motivasi jemaah dalam melaksanakan ibadah haji. Secara keseluruhan, kajian ini menegaskan bahawa PIHTAS wanita merupakan komponen penting dalam ekosistem bimbingan haji yang tidak boleh dipandang ringan. Kehadiran mereka bukan sahaja melengkapkan keperluan bimbingan fiqh ibadah, bahkan turut berfungsi sebagai sokongan psikososial yang kritikal bagi memastikan ketenangan jiwa dan kesempurnaan ibadah jemaah wanita. Justeru, pengukuhan peranan PIHTAS wanita perlu diberi perhatian berterusan agar bimbingan yang ditawarkan mampu menyesuaikan diri dengan cabaran semasa, tanpa mengabaikan nilai hikmah dan pendekatan kemanusiaan yang telah menjadi teras keberkesanan mereka. Penghargaan: Bahagian Bimbingan Tabung Haji, Lembaga Tabung Haji kerana membiayai kajian dan pembentangan ini .

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=