E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 168 PERANAN DAN KEPERLUAN PEMBIMBING IBADAT HAJI TANAH SUCI (PIHTAS) WANITA DALAM MENANGANI PERMASALAHAN FIQH IBADAH DAN PSIKOLOGI JEMAAH HAJI WANITA Nor Azizah Mustapha, Fariza Md. Sham, SMK Tinggi Kajang, 43500, Kajang, Selangor & PEKTA Tabung Haji; Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia Emel: drnam2021@gmail.com ABSTRAK Dalam era kecerdasan buatan (AI), bimbingan ibadah haji telah melalui pelbagai transformasi dengan akses maklumat dan sumber rujukan berada di hujung jari. Bahagian Bimbingan Tabung Haji juga menyediakan platform khusus bagi rujukan jemaah semasa berada di tanah suci. Teknologi masa kini membantu menyelesaikan persoalan berkaitan pelaksanaan manasik haji melalui platform digital yang pantas dan meluas. Namun demikian, keperluan bimbingan secara bersemuka oleh PIHTAS wanita masih menjadi persoalan penting yang perlu dinilai dari segi relevansi dan keberkesanannya. Ini memandangkan keterbatasan dalam kalangan jemaah mengakses dan menggunakan platform digital khususnya dalam kalangan warga emas. Oleh itu, kajian ini dilaksanakan untuk menganalisis peranan dan keperluan PIHTAS wanita dalam menangani permasalahan jemaah wanita semasa mengerjakan ibadah haji di Tanah Suci. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui temu bual mendalam bersama enam orang informan yang merupakan PIHTAS wanita berpengalaman. Dapatan kajian telah dikategorikan kepada tiga tema utama iaitu bimbingan fiqh ibadah, sokongan emosi dan psikososial, serta cabaran dalam pelaksanaan bimbingan kepada jemaah. Hasil analisis menunjukkan bahawa walaupun teknologi memudahkan capaian maklumat, bimbingan secara bersemuka tetap relevan bagi memastikan pemahaman yang tepat, menyelesaikan isu sensitif wanita, dan memberikan sokongan emosi yang lebih berkesan dalam meningkatkan kualiti pelaksanaan manasik haji jemaah wanita. Katakunci: PIHTAS, manasik haji, jemaah haji wanita, bimbingan fiqh wanita, emosi. PENDAHULUAN Ibadah haji merupakan rukun Islam kelima yang wajib ditunaikan bagi umat Islam yang berkemampuan. Dalam konteks pelaksanaan ibadah haji, jemaah wanita sering berhadapan dengan isu khusus berkaitan fiqh wanita serta cabaran emosi dan psikologi. Bimbingan berkala dan efektif disediakan oleh pihak Bimbingan Tabung Haji bermula di Malaysia lagi. Dalam memastikan pelaksanaan ibadah haji yang sempurna, Tabung Haji menyediakan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) dalam memberikan bimbingan secara bersemuka disamping platform digital lain seperti e-Taib dan TH-Hujjaj (Tabung Haji) Peratusan jemaah wanita yang menunaikan haji bagi tahun 2025 adalah sebanyak 58 peratus berbanding dengan jemaah lelaki. Persoalan berkaitan Fiqh Ibadah terutama berkaitan permasalahan wanita menjadikan peranan PIHTAS penting bagi memberikan bimbingan yang sesuai dengan keperluan mereka. Kajian ini bertujuan menganalisis peranan serta keperluan PIHTAS Wanita dalam menyelesaikan permasalahan ibadah yang dihadapi oleh jemaah wanita khususnya dari sudut fiqh ibadah dan psikologi sepanjang berada di tanah suci.
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=