E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)

MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 166 Kajian turut mendapati bahawa keberkesanan AI dalam bimbingan haji dan umrah tidak dapat dipisahkan daripada isu-isu kritikal seperti kemampuan AI memahami konteks ibadah, risiko bias algoritma, ketelusan sumber data, serta kemungkinan sekatan digital yang boleh menjejaskan penyampaian maklumat. Tambahan pula, perbezaan mazhab dan sensitiviti fatwa menuntut supaya AI dilatih dengan data yang sahih, diselia oleh pakar syariah, dan mematuhi garis panduan tertentu bagi memastikan ketepatan maklumat yang hendak disampaikan kepada khalayak. Oleh itu, kajian ini mencadangkan agar perkara-perkara berikut diberikan perhatian sewajarnya, iaitu: Pembangunan AI Patuh Syariah dan Berorientasi Mazhab. Model AI untuk bimbingan haji dan umrah perlu dilatih dengan data yang sahih, berautoriti, dan mencakupi kepelbagaian mazhab. Diselia oleh panel pakar syariah bagi memastikan jawapan yang dihasilkan konsisten dengan garis panduan rasmi Tabung Haji dan fatwa semasa. Kerangka Etika dan Garis Panduan Nasional. Kerajaan melalui JAKIM dan Lembaga Tabung Haji, wajar menggubal garis panduan penggunaan AI dalam penyampaian bimbingan haji dan umrah bagi mengelakkan salah maklumat, penyalahgunaan data, atau penyebaran pandangan yang tidak sahih atau palsu. Piawaian ini boleh dijadikan rujukan bagi semua pengendali umrah dan haji swasta. Peningkatan Fungsi Interaktif AI. Chatbox seperti Haji Adam perlu dipertingkatkan daripada respons kolektif kepada respon interaktif yang lebih terbuka. Para pengguna boleh mengemukan soalan secara langsung bukan sekadar memilih pada ruangan jawapan yang disediakan. Latihan Literasi Digital untuk Para Petugas dan Jemaah Haji dan Umrah. Petugas dan para Jemaah perlu diberi pendedahan cara menggunakan AI dengan betul, termasuk batasan dan keperluannya untuk semakan semula. Petugas haji dilatih dan sentiasa bersedia ( on- call ) bagi mengendalikan sistem AI agar boleh bertindak sebagai lapisan semakan sekiranya terdapat isu yang lebih kritikal sebelum jawapan akhir disampaikan kepada pengguna. Keselamatan Data dan Infrastruktur. Sistem AI perlu mematuhi standard keselamatan data bagi melindungi maklumat peribadi jemaah. Infrastruktur digital juga perlu diperkukuh untuk mengelakkan gangguan teknikal semasa musim puncak haji dan umrah di Tanah Suci. PENUTUP Masa depan bimbingan haji dan umrah berasaskan AI amat bergantung kepada usaha bersepadu antara penyedia perkhidmatan, pakar agama, pembangun teknologi dan pihak berautoriti untuk merangka kerangka etika, piawaian keselamatan, dan sistem pengesahan data. Dengan langkah ini, AI bukan sahaja dapat berperanan sebagai alat sokongan yang berkesan, tetapi juga sebagai pemacu inovasi yang memperkukuh pengalaman ibadah jemaah secara holistik, selamat dan patuh syariah. Penghargaan: Penulis merakamkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Lembaga Tabung Haji (TH) yang telah menaja kertas ini sehingga berjaya dibentangkan dalam seminar MANASIK2025.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=