E-Prosiding Persidangan Serantau Manasik Haji 2025 (MANASIK2025)
MANASIK2025 Putrajaya, 7-8 Oktober 2025 158 jemaah hanya berhenti pada tahap tersebut tanpa meneruskan amalan menabung secara konsisten. Keadaan ini menimbulkan dilema apabila giliran haji mereka tiba, sedangkan jumlah tabungan tidak mencukupi untuk menampung kos sebenar yang semakin meningkat saban tahun. Fenomena ini menunjukkan wujudnya salah tanggapan dalam kalangan masyarakat bahawa memiliki nombor giliran sudah memadai untuk dianggap mampu, walhal konsep istiṭā‘ah menurut syarak menuntut kesediaan kewangan yang mencukupi pada masa pelaksanaan ibadah, bukan sekadar memenuhi syarat pendaftaran. Oleh itu, kegagalan dalam menabung secara berterusan boleh menjejaskan kelancaran pelaksanaan ibadah haji dan meningkatkan kebergantungan terhadap subsidi TH. Dari sudut pandangan ulama, tabungan haji yang tidak konsisten boleh menimbulkan persoalan terhadap kesempurnaan syarat istiṭā‘ah dalam ibadah haji. Menurut jumhur fuqaha, syarat istiṭā‘ah kewangan ( istiṭā‘ah al - māliyah ) bukan hanya bermaksud memiliki sejumlah wang untuk mendaftar, bahkan merujuk kepada kemampuan sebenar yang mencukupi untuk menanggung segala kos perjalanan, penginapan, makanan, serta nafkah yang ditinggalkan kepada ahli keluarga sepanjang ketiadaan seseorang (Ibn Qadamah, 1983). Oleh itu, mereka yang hanya menyimpan pada kadar minimum tanpa meneruskan tabungan secara berterusan tidak dianggap benar-benar memenuhi maksud istiṭā‘ah . Imam al- Nawawī menegaskan bahawa seseorang yang ingin menunaikan haji perlu memastikan hartanya melebihi keperluan asas dirinya dan keluarganya, serta bebas daripada hutang yang membebankan (al-Nawawi, 1997). Hal ini bermaksud, kewajipan haji tidak tertanggung ke atas mereka yang belum mencapai tahap kecukupan kewangan walaupun telah berdaftar. Oleh itu, Islam menuntut umatnya untuk berusaha dengan cara yang halal dan berterusan bagi memastikan kemampuan kewangan dapat dicapai. Prinsip ini dikenali sebagai al-akhdh bi al- asbāb , iaitu mengambil sebab atau berusaha untuk mencapai sesuatu kewajipan (al- Sarakhsī, 1986). Dalam konteks haji, menabung secara konsisten dianggap sebagai salah satu bentuk usaha yang dituntut kerana ia menyediakan jalan bagi mencapai kemampuan kewangan sebenar di masa hadapan. Ia selaras dengan kaedah fiqh yang menyatakan: “Mā lā yatimmu al - wājib illā bihi fahuwa wājib” (sesuatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya, maka perkara itu juga menjadi wajib) (al- Suyūṭī, 1999). Ulama kontemporari seperti Wahbah al- Zuḥaylī turut menekankan bahawa syarat istiṭā‘ah bukanlah sesuatu yang bersifat statik, sebaliknya memerlukan usaha bagi merealisasikannya. Dalam kerangka ini, menabung secara konsisten bukan sahaja dilihat sebagai perancangan kewangan, malah sebagai ibadah persediaan yang menzahirkan kesungguhan untuk memenuhi salah satu rukun Islam. Justeru, kegagalan membuat simpanan yang berterusan boleh menyebabkan seseorang terus berada dalam keadaan tidak mampu, sekali gus menangguhkan pelaksanaan ibadah haji walaupun peluang dan giliran telah tiba. Hal ini menunjukkan bahawa tabungan konsisten adalah usaha yang menepati tuntutan syarak dalam mempersiapkan diri terhadap kewajipan yang pasti. SARANAN PENAMBAHBAIKAN KEMAMPUAN KEWANGAN HAJI Berdasarkan analisis di atas, dirumuskan beberapa cadangan untuk perhatian dan pertimbangan TH; Pertama: Memantapkan kefahaman tentang konsep istiṭā’ah kewangan dengan berkesan Bagi memantapkan kefahaman umat Islam terhadap konsep istiṭā’ah kewangan dalam ibadah haji, penambahbaikan perlu dilakukan secara menyeluruh melibatkan aspek pendidikan, institusi kewangan, serta bimbingan keagamaan. Pendidikan dan literasi kewangan Islam harus diperkukuh melalui kursus haji, seminar, dan program komuniti dengan penekanan kepada kepentingan tabungan konsisten, pembebasan daripada hutang, serta keperluan menyediakan nafkah keluarga semasa ketiadaan jemaah di tanah air. Kefahaman ini tidak wajar terbatas kepada aspek teknikal perancangan kewangan semata-mata, sebaliknya mesti dipadukan dengan dalil syarak dan maqāṣid al- sharī‘ah agar masyarakat menyedari bahawa persediaan kewangan adalah sebahagian daripada syarat sah kewajipan haji. Dalam hal ini, kurikulum kursus haji yang sedia ada juga memerlukan pengukuhan, kerana tumpuannya kini lebih menjurus kepada aspek praktikal manasik berbanding penekanan yang mendalam terhadap syarat istiṭā’ah . Modul khusus mengenai dimensi kewangan dapat membuka ruang kefahaman yang lebih menyeluruh, termasuk perbahasan fiqh, cabaran kontemporari, serta garis panduan menabung yang sistematik. Di samping itu, peranan TH perlu diperkasa dengan penyediaan modul literasi kewangan interaktif yang mampu
Made with FlippingBook
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=