e-Risalah USIM - Edisi September 2022
SEPTEMBER 2022 9 | Justeru untuk memastikan pengundi muda turun pada pilihanraya ke 15 nanti, platform TikTok hendaklah menjadi antara platform utama yang perlu dieksploitasi oleh organisasi politik dan bakal calon pilihanraya akan datang. Ini kerana sejak 2008, media sosial seperti Facebook dan Twitter telah menjadi medium penting untuk komunikasi politik di Malaysia. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dan Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, rangkaian media sosial menjadi platform utama bagi kempen politik di Malaysia. Namun seperti aplikasi yang lain (Facebook, Instagram dan Twitter), TikTok adalah umpama pedang dua mata yang boleh memberi kebaikan dan keburukan dalam sekelip mata. Hanya kerana ia dianggap sebagai platform untuk berseronok dan mencari sensasi oleh golongan muda dengan joget viral dan memes lawak bersama artis, ia tidak bermakna calon politik perlu menghasilkan kandungan politik yang serupa. Silap langkah, pengisian kempen politik kosong, cetek dan berbentuk hiburan semata-mata bakal memakan diri calon itu nanti. Perlu diingat, kandungan media digital hari ini berbentuk transmedia di mana kandungan yang dihasilkan di satu platform media sosial juga akan tersebar oleh media digital yang lain seperti Whatsapp, YouTube dan digunakan oleh media konvensional seperti di televisyen dan akhbar. Kandungan yang sama juga akan tersebar dan mempengaruhi persepsi dan pandangan kumpulan umur pengundi belia dan dewasa yang turut mempunyai pengaruh yang kuat terhadap keputusan pengundi kali pertama. Diharapkan dengan lebih kandungan dan pendedahan berkaitan isu politik di platform TikTok, lebih ramai golongan muda akan turun mengundi dan menjalankan tanggungjawab masing-masing terhadap negara. Ini disebabkan banyak kajian menunjukkan bahawa kadar turun mengundi di kalangan kumpulan ini masih rendah dan golongan remaja dilihat bersikap apatis terhadap politik. Jikapun mungkin kebanyakan pengundi kali pertama dengan lingkungan umur antara 18 ke 20 tahun tidak berminat tentang politik, pendedahan secara kebetulan melalui timeline , status rakan, atau perkongsian berita di laman rangkaian sosial diharap boleh menjadi daya penarik untuk mereka lebih cakna berkaitan isu politik tanah air sekali gus turun mengundi.
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=