e-Risalah USIM - Edisi September 2022

SEPTEMBER 2022 11 | Penawaran program biasiswa ini dilihat memberi kesan yang sangat besar dalam usaha melahirkan lebih ramai modal insan yang berintelektual tinggi. Untuk rekod sehingga tahun 2016, lebih daripada 50,000 orang pelajar telah mendapat manfaat daripada program biasiswa ini dan hampir 23,000 orang pelajar adalah pemegang sijil ijazah doktor falsafah (PhD). Malangnya, program yang mampu meringankan beban tanggungan yuran yang dihadapi dalam kalangan pelajar telah diberhentikan bermula tahun 2018 sehingga kini atas faktor ketidakstabilan ekonomi dan peruntukan kewangan negara yang tidak mencukupi. Impaknya, jumlah kemasukan pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di universiti awam dan swasta semakin merosot. Bebanan yuran yang semakin mencanak menjadikan ia beban bukan sahaja kepada pelajar tetapi ibu bapa serta penjaga. Keadaan ini tidak wajar dipandang enteng oleh pihak kerajaan tanpa sebarang tindakan susulan kerana ia bakal mengganggu perkembangan potensi individu melibatkan keupayaan daya intelek dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda di negara ini. Golongan mahasiswa merupakan barisan perintis yang bakal menggalas tanggungjawab besar negara dalam mendepani era revolusi perindustrian 4.0. Bagi menangani isu melibatkan penjanaan dana pendidikan yang sedang dihadapi oleh golongan mahasiswa dan juga universiti di Malaysia, satu jawatan kuasa yang melibatkan kerjasama pihak universiti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan agensi swasta perlu ditubuhkan bagi mendapatkan solusi kepada masalah yang dihadapi. Sokongan kewangan dan pembiayaan pendidikan melibatkan golongan mahasiswa yang layak dan berkeinginan untuk menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi perlu diteruskan demi menjamin kelestarian pendidikan negara. Kegagalan penawaran skim dan program pembiayaan pengajian seperti Mybrain15 dilihat sebagai salah satu faktor penyumbang kepada kepincangan intelek masyarakat yang sentiasa dahagakan percambahan ilmu dan pengetahuan. Akhirnya, negara akan menghadapi kekurangan modal insan yang berkualiti dan berkemahiran tinggi seterusnya mempengaruhi tahap Indeks Produktiviti Industri (IPI) di Malaysia. Tambahan lagi, negara pada hari ini sangat memerlukan sumbangan tenaga kerja mahir yang kreatif dan inovatif. Menurut Majlis Penasihat Ekonomi Negara, sesebuah negara yang mengalami kekurangan pekerja mahir yang tinggi menyebabkan pertumbuhan produktiviti menjadi lemah. Hal ini adalah berpunca daripada kekurangan daya kreativiti dan inovasi dalam kalangan tenaga kerja dan akhirnya memaksa negara bergantung kepada warga asing yang kurang mahir. Keupayaan holistik melibatkan modal insan sangat diperlukan dalam pelbagai sektor sebagai pemangkin hala tuju negara, lebih-lebih lagi dalam keberhasilan negara. Hal ini dibuktikan oleh Indeks Daya Saing Digital Global yang mana Malaysia telah menduduki tangga 10 negara teratas dalam hasil penambahbaikan melibatkan modal insan khususnya dalam bidang perniagaan. Bagi mencapai status negara maju yang mempunyai tahap produktiviti yang tinggi, kita memerlukan lebih ramai tenaga kerja berpendidikan tinggi yang memiliki pengetahuan, kemahiran, dan berkebolehan dalam pelbagai bidang untuk berinovasi dalam mengembangkan ekonomi negara seiring dengan negara-negara maju lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=