e-Risalah USIM - Edisi September 2021
T anggal 31 Ogos setiap tahun negara kita akan menyambut hari kemerdekaannya. Pada 31 Ogos 1957, negara kita telah berjaya dibebaskan dari cengkaman penjajahan British yang telah menjajah negara kita buat sekian lama. Namun, erti kemerdekaan ini sering kali dikaitkan dengan kebebasan negara dan tanah air kita dari penjajahan dari kuasa-kuasa luar sahaja. Konsep kemerdekaan ini tidak seharusnya dihadkan kepada kebebasan daripada penjajahan negara dan tanah air kita dari kuasa negara-negara lain sahaja. Negara kita perlu dibebaskan juga daripada segala bentuk jenayah, kesalahan dan salah laku yang boleh merosakan masyarakat dan negara kita. Antara isu yang paling hangat diperkatakan pada ketika ini adalah isu yang melibatkan jenayah rasuah. Buat sekian lama, isu jenayah rasuah ini sentiasa mendapat perhatian di dalam negara kita. Pada awal tahun ini sahaja, kita telah didedahkan dengan pelbagai jenis tangkapan dan pendakwaan yang melibatkan jenayah rasuah. Lebih menyedihkan lagi terdapat juga dakwaan kewujudan kartel – kartel di dalam penjawat awam dan badan penguatkuasa yang menyebabkan jenayah rasuah ini menjadi lebih berleluasa dan sukar untuk dibendung. Jenayah rasuah dalam apa-apa bentuk sekali pun tidak boleh dibiarkan berlaku dalam negara kita sekiranya kita ingin menjadikan negara kita sebuah negara yang bebas daripada jenayah rasuah. Semua pihak telah pun ketahui kesan buruk jenayah rasuah terhadap individu yang terlibat dan terhadap negara secara keseluruhannya. Tindakan segera harus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan jenayah rasuah ini tanpa mengira pangkat dan latar belakang mereka. Bagi membendung jenayah rasuah, adalah penting supaya kita memahami maksud rasuah itu dahulu. Mengikut takrifan yang diberikan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), rasuah ditakrifkan sebagai penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan di sini selalunya terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun. Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telahmeluluskan projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan. Mengikut takrifan suapan di bawah Seksyen 3 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] pula suapan ertinya (a) wang, derma, alang, pinjaman, fi, hadiah, cagaran berharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta, sama ada alih atau tak alih, faedah kewangan, atau apa-apa manfaat seumpama itu yang lain; (b) apa-apa jawatan, kebesaran, pekerjaan, kontrak pekerjaan atau perkhidmatan, dan apa-apa perjanjian untuk memberikan pekerjaan atau memberikan perkhidmatan atas apa-apa sifat; (c) apa-apa bayaran, pelepasan, penunaian atau penyelesaian apa-apa pinjaman, obligasi atau liabiliti lain, sama ada keseluruhannya atau sebahagian daripadanya; (d) apa-apa jenis balasan berharga, apa-apa diskaun, komisen, rebat, bonus, potongan atau peratusan; (e) apa-apa perbuatan menahan diri daripada menuntut apa-apa wang atau nilai wang atau benda berharga; (f) apa-apa jenis perkhidmatan atau pertolongan lain, termasuk perlindungan daripada apa-apa penalti atau ketidakupayaan yang dikenakan atau yang dikhuatiri atau daripada apa-apa tindakan atau prosiding yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah, sama ada atau tidak sudah dimulakan, dan termasuk penggunaan atau menahan diri daripada menggunakan apa-apa hak atau apa-apa kuasa atau kewajipan rasmi; dan (g) apa-apa tawaran, aku janji atau janji, sama ada bersyarat atau tidak bersyarat, untuk memberikan suapan mengikut pengertian mana- mana perenggan (a) hingga (f). Penting untuk diketahui juga, mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] terdapat empat kesalahan yang melibatkan rasuah yang utama iaitu meminta atau menerima rasuah (Seksyen 16 & 17(a) Akta SPRM 2009), menawar atau memberi suapan (Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, mengemukakan tuntutan palsu (Seksyen 18 Akta SPRM 2009) dan menggunakan jawatan ataupun kedudukan untuk suapan pegawai badan awam (Seksyen 23 Akta SPRM 2009). Semua pihak dalam negara kita perlu ambil serius dalam isumelibatkan jenayah rasuah. Jenayah rasuah ini perlu dikenal pasti dari peringkat awal dan tindakan segera perlu diambil terhadap mana-mana pihak tanpa mengambil kira kedudukan dan jawatan mereka. Semua pihak dalam negara kita perlu dilayan dengan adil dan dikenakan tindakan undang- undang yang sama. Tidak boleh ada pengecualian dalam perkara ini. Agensi penguatkuasa seperti SPRM perlu memainkan peranan paling aktif dalam membendung jenayah rasuah ini dalam negara kita. Pihak SPRM perlu sentiasa memantau sebarang tindakan mana-mana pihak yang ingin melakukan jenayah rasuah ini khususnya di kalangan para pemimpin dan ahli politik kita kerana golongan ini memiliki kuasa yang banyak dan mudah terdedah dengan risiko untuk terlibat dengan jenayah rasuah. Pihak SPRM juga perlu tampil berani dan lantang bersuara serta menegur mana-mana pemimpin dan ahli politik yang didapati melanggar mana-mana prinsip atau undang-undang yang berkaitan dengan jenayah rasuah dalam negara kita. Dr. Muzaffar Syah Mallow, Profesor Madya, Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU) MerdekakanNegaraKita Dari JenayahRasuah 14 | SEPTEMBER 2021
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=