e-Risalah USIM - Edisi Oktober 2022
OKTOBER 2022 9 | Tahun 2022 yang bertemakan “Emosi Sejahtera Hidup Bahagia” menampilkan kelainan dengan penganjuran program Jelajah Kaunseling Prihatin Rakyat yang akan dilaksanakan di enam zon termasuk Sabah dan Sarawak. Sejajar dengan statistik pertambahan isu kesihatan mental di Malaysia juga, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mensasarkan keperluan seramai 60,000 kaunselor bagi membantu menangani masalah kesihatan mental rakyat Malaysia yang kian tenat ini. Sehingga 31 Ogos 2022, seramai 10,136 kaunselor berjaya mendaftar melalui Lembaga Kaunselor Malaysia. Pihak kerajaan juga dilihat sedang bertungkus-lumus mempertingkat usaha untuk menambah bilangan tersebut bagi menampung keperluan semasa. Selain itu, KPWKM juga mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang bertujuan membantu melaksanakan aktiviti dan program pencegahan dalam komuniti dan khidmat kaunseling komuniti sebagai satu budaya dalam kehidupan masyarakat. Tekanan berpanjangan yang dialami oleh individu tanpa strategi daya tindak yang bersesuaian dan efektif membawa kepada kegagalan individu dalam mengawal emosi dan mengatur kehidupan seharian mereka yang seterusnya membawa kepada masalah kesihatan mental. Salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan penderitaan yang dialami ini adalah dengan berjumpa pegawai profesional seperti kaunselor. Khidmat kaunselor dan psikologi ini amatlah penting bagi membantu individu yang menghadapi tekanan yang muncul dalam kehidupan. Melalui sesi kaunseling dan intervensi yang dijalankan, individu akan dibantu oleh kaunselor untuk berfikir secara rasional dalam menjalani kehidupan seharian selepas melalui suatu keadaan yang tertekan. Selain itu, sesi kaunseling juga dapat mengurangkan stres, ketegangan, dan kebimbangan yang seterusnya dapat menghalang individu yang tertekan daripada melakukan tingkah laku yang tidak diingini. Umumnya, sesi kaunseling yang dijalankan adalah pelbagai yang mencakupi perkhidmatan intervensi krisis, sokongan psikologi serta sesi kaunseling yang secara langsung dapat mengurangkan penderitaan emosi disebabkan oleh tekanan hidup yang dialami. Sesi kaunseling yang efektif dapat membantu individu untuk memiliki daya tahan yang tinggi dan membantu individu untuk mengenal pasti strategi daya tindak yang terpilih dalam berhadapan dengan tekanan dan permasalahan yang wujud. Oleh itu, setiap individu haruslah cakna dengan keadaan emosi diri sendiri dan ahli keluarga agar kesejahteraan mental dan fizikal dapat dicapai dengan jaya, seterusnya mencapai kebahagiaan dalam kehidupan. Usah mensia-siakan usaha yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak ini agar rakyat Malaysia menjadi rakyat yang bahagia, sihat mental dan fizikalnya, sekaligus dapat menyumbang kepada pembangunan negara.
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=