e-Risalah USIM - Edisi Oktober 2022

OKTOBER 2022 11 | Rancakkan kempen #CaknaUNDI untuk galakkan golongan muda keluar mengundi Penurunan tahap umur pengundi dan pertambahan jumlah pengundi dilihat sebagai satu perkembangan yang baik dalam negara menuju ke arah sistem demokrasi yang matang.  Namun kenaikan jumlah pengundi dijangka bakal memberikan implikasi kepada jumlah peratusan keluar mengundi pada PRU ke- 15 yang dijangka akan diadakan pada masa terdekat ini.  Pada PRU ke-13 dan ke-14 yang lalu, rekod keluar mengundi masing-masing mencatatkan jumlah yang memberangsangkan iaitu sebanyak 85% dan 82%, meningkat daripada 76% berbanding PRU ke-12.   Namun dilihat daripada trend rekod keluar mengundi Pilihanraya Negeri (PRN) di Sabah, Sarawak dan Melaka yang diadakah selepas PRU ke-14, peratusan mengundi hanyalah sekitar 60%.  Lebih membimbangkan, peratus keluar mengundi pada PRN terkini di Johor yang diadakan pada Mac 2022, di mana buat pertama kalinya mereka yang berumur 18 tahun dan ke atas boleh keluar mengundi, rekod keluar mengundi hanyalah sekitar 55%.  Persoalannnya adakan trend ini akan berterusan pada PRU ke 15 akan datang dan mengapakah perkara ini berlaku? Benarkah anak muda di negara ini acuh tidak acuh untuk mengundi dan tidak mempedulikan soal politik? Atau adakah rakyat secara umumnya sudah merasa jelak dengan isu dan krisis politik negara menyebabkan mereka tidak mahu mengundi pada pilihanraya akan datang?   Peratusan rekod keluar mengundi yang menurun, jika ia berlaku pada PRU akan datang, kesan daripada penurunan tahap umur dan pertambahan jumlah pengundi, bukanlah satu senario asing dalam arena politik antarabangsa.   Di negara yang mana demokrasinya dilihat lebih matang seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom, peratus keluar mengundi pada pilihanraya umum adalah hanya kira- kira 60%. Antara faktor utama adalah kerana penglibatan yang rendah dikalangan golongan muda berumur antara 18 hingga 24 tahun.  Namun kajian yang dijalankan oleh penyelidik USIM dengan kerjasama Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Jabatan Perdana Menteri (JPM) terhadap 2000 bakal pengundi berumur 18 tahun dari seluruh negara mendapati 84% menyatakan kesanggupan mereka untuk keluar mengundi pada PRU ke-15 akan datang. Hasil tinjauan kajian bagaimanapun mendapati hampir separuh daripada bakal pengundi muda tidak cakna akan status mereka sebagai pengundi yang telah didaftarkan secara automatik.  Dalam satu lagi kajian oleh penyelidik USIM yang menemubual 50 bakal pengundi berumur 18 tahun mendapati, 98 peratus daripada responden bersedia untuk menjalankan tanggungjawab mereka pada PRU akan datang walaupun kebanyakan mereka mengakui tidak berminat dengan politik. Jika dapatan kajian di atas diambil sebagai kayu ukur kepada jumlah golongan muda yang akan keluar mengundi, negara dijangka mampu mengekalkan rekod keluar mengundi yang baik melebihi 80%.  Namun tahap literasi politik dan pengundian perlu diperkasakan di kalangan pengundi muda dan pengundi baharu dengan kadar segera. Ia termasuk menyampaikan maklumat asas kepada pengundi baharu berkaitan fungsi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), semakan daftar pengundi, lokasi mengundi, bakal calon wakil rakyat dan tarikh pengundian. Kempen #CaknaUndi secara meluas terutama di platform media sosial perlu dilancarkan dengan kadar segera untuk memberikan kesedaran kepada pengundi baharu agar bersedia untuk bersama-sama melibatkan diri dalam proses demokrasi negara, dengan memilih pemimpin yang mewakili kemahuan dan aspirasi mereka dan pada masa yang sama mendukung kepentingan rakyat. Profesor Madya Dr Mohd Faizal Kasmani Pensyarah Program Komunikasi Media Baharu; dan Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=