e-Risalah USIM - Edisi Oktober 2021
OKTOBER 2021 10 | B ermula 15 Oktober, pelajar lama dan baharu akan memulakan sesi akademik 2021/2022 secara berperingkat seperti yang diumumkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Batasan pergerakan dan pematuhan SOP tidak lagi menjadi alasan kepada para pelajar untuk menangguh pengajian. Ini kerana pelbagai kaedah dan medium disediakan bagi memastikan proses pengajian diteruskan dan berjalan lancar. Dalam hal ini, adaptasi norma baharu dalam kalangan para pelajar dilihat semakin memberangsangkan dalam usaha memenuhi keperluan pengajian. Peluang memasuki institusi pengajian tinggi perlu dihargai sebaiknya. Mahasiswa bertanggungjawab memberi komitmen yang tinggi dalam sesi pembelajaran di dalam kelas. Mahasiswa disarankan memanfaatkan semua kemudahan dan fasiliti universiti sepanjang tempoh pengajian. Misalnya, kerap kali mengunjungi perpustakaan untuk mendapatkan bahan rujukan dan memanfaatkan aplikasi dalam talian yang disediakan bagi menyiapkan projek penyelidikan. Dalam menggalas amanah sebagai mahasiswa, adakalanya mereka terlepas pandang perkara penting yang boleh menjejaskan proses pengajian. Setelah bergelar mahasiswa, segala tindakan dan kelakuan harus selari dengan undang-undang, peraturan dan garis panduan yang dikuatkuasakan oleh universiti masing-masing. Kesedaran terhadap undang-undang dan peraturan universiti perlu ditingkatkan agar prinsip integriti dan akauntabiliti dalam kalangan mahasiswa tidak dikesampingkan. Secara tidak langsung, mahasiswa yang berkelakuan baik dan betul bukan sahaja menjaga reputasi diri malah melindungi kepentingan universiti. Dalam konteks ini, antara perkara penting yang perlu diambil perhatian ialah tanggungjawab mahasiswa menjaga harta benda universiti dengan sebaik-baiknya supaya manfaatnya berpanjangan hingga dapat dinikmati oleh generasi yang akan datang. Selain itu, mahasiswa seharusnya memainkan peranan penting dalam menjaga nama baik universiti masing-masing. Semua tindakan dan aktiviti para pelajar perlu seiring dengan hasrat universiti agar proses pengajian berjalan dengan baik dan teratur. Mahasiswa perlu sentiasa menghormati para pensyarah yang mendidik dan mencurahkan ilmu sama ada di dalam dan di luar kelas. Selain itu, mahasiswa juga perlu menghormati para pentadbir universiti termasuk pihak pengurusan tertinggi, para pegawai dan barisan staf pelaksana yang banyak membantu dalam melancarkan proses pengajian mereka. Justeru, adab dan tatasusila mahasiswa perlu sentiasa dijaga dalam usaha mewujudkan ekosistem pengajian yang sejahtera bagi memperolehi kejayaan dalam pengajian. Secara tidak langsung mahasiswa akan membina reputasi universiti yang lebih baik dan akhirnya melonjak kedudukan sesebuah universiti sama ada di peringkat tempatan mahupun dunia. Kesimpulannya, aspek pengurusan pengajian perlu diambil perhatian yang serius dalam kalangan para mahasiswa bagi membuahkan hasil yang berkualiti. Antara langkah yang wajar dilakukan bagi membolehkan proses pengajian dapat diurus dengan baik ialah denganmemastikan diri mahasiswa berada dalam kelompok rakan-rakan yang positif. Justeru, apabila proses pengajian diurus dengan bijak sudah pastinya mahasiswa akan menamatkan pengajian dengan jayanya. Kejayaan ini akan membuka ruang dan peluang yang baik bagi meningkatkan kebolehpasaran mahasiswa setelah bergraduasi nanti. Pekerjaan yang baik selanjutnya membawa kepada kehidupan yang sejahtera untuk diri, keluarga, masyarakat dan negara. SiswaPerluBijak UrusPengajian diUniversiti Hafizah Marzuki Juruaudit Kanan, Bahagian Audit Dalam
RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=