e-Risalah USIM - Edisi Ogos 2022

OGOS 2022 17 | Hal yang sama juga berterusan berlaku di saluran televisyen Indonesia. Di samping itu editor-editor akhbar yang turut mensensasikan tajuk berita kadangkala melangkaui sempadan norma dan syariah serta menimbukan kekeliruan. Ini menunjukkan gerakan Islamisasi di Malaysia dan Indonesia masih belum kuat untuk mempengaruhi industri media tempatan dalam berkarya. Tambahan lagi kandungan Islamik bersaing dengan kandungan bukan Islamik yang dilihat lebih menarik dan kreatif, lebih ringkas dan tidak berat. Kerana itu aplikasi tiktok sebagai contoh lebih dikenali sebagai aplikasi berjoget walaupun kandungan ilmiah turut banyak dipersembahkan melalui aplikasi tersebut. Hal ini kerana pemegang taruh industri media adalah mereka yang membawa ideologi hedonisma, kapitalisma, liberalisma dan pelbagai lagi yang begitu mencabar untuk umat Islam. Justeru, hal sebeginilah yang menjadikan Malaysia dan Indonesia masih tidak begitu kuat dalam mempelopori industri media dalam membentuk budaya masyarakat yang sejahtera.  Bahkan, pemahaman terhadap Islamic atau Islami juga hanya berkisar sekadar luaran bukannya pada hakikat (substance). Justeru penampilan individu, kumpulan dan institusi kononnya nampak Islamik telah merosakkan imej Islam secara keseluruhan. Tanggungjawab Kekal, Tetapi Strategi Berbeza Dakwah adalah satu tanggungjawab abadi bagi Muslim sehingga ke hari kiamat. Mereka perlu saling membimbing untuk terus berada di jalan yang diredai Allah. Umat Islam diikat dan bersatu dengan dasar aqidah sebagai sistem nilai kehidupan mereka. Manakala syariah adalah norma yang mengatur perilaku untuk diterjemahkan dalam bentuk akhlak yang mulia. Maka dengan itu muamalah mereka adalah ukhuwwah Islamiyyah yang saling berpesan demi kebenaran untuk mencapai kesejahteraan bersama di dunia dan akhirat. Setiap urusan dalam kehidupan masyarakat Islam sentiasa mendepankan konsep Rabbani untuk memastikan mesej Islam yang universal menjadi seimbang untuk seluruh makhluk di muka bumi ini. Sungguhpun matlamat dakwah itu kekal sama, pendekatan, strategi dan seni dakwah telah berbeza kerana budaya masyarakat dalam dunia komunikasi media digital hari ini juga berbeza. Mereka dikenali dengan nama warga maya atau netizen yang terdedah dengan pelbagai budaya popular. Pendekatan Islam harus disesuaikan dalam budaya mereka. Bersetuju dengan saranan Professor Datuk Dr. Zulkiple Abdul Ghani sebagai seorang yang dirujuk dalam disiplin da’wah dan media, keperluan dakwah dalam dunia hari ini adalah dengan menyemarakkan idea dan semangat da’wah bi al-nizam (dakwah melalui sistem) supaya masyarakat tidak hanya disajikan dengan data akan tetapi ilmu agar membentuk hikmah yang memandu kehidupan yang berkualiti. Seruan Jihad Umat Islam Dalam Industri Media Digital Jihad umat Islam dalam membekalkan kandungan Islamik dan penguasaan kepada sistem industri media perlu dijadikan agenda utama kerana media sudah menjadi sistem sosial yang berpengaruh kepada manusia yang banyak mengubah dan mengawal cara manusia beinteraksi. Umat Islam harus memahami falsafah komunikasi Islam seterusnya membentuk pasukan yang professional dalam mengendalikan teknologi media dan akhirnya berjuang menghasilkan kandungan yang mengangkat mesej Islam dengan wajah yang sebenar selari dengan batasan syariat. Kandungan Islamik perlu dihidangkan secara berterusan dan berkesan di kesemua saluran media dan para asatizah perlu mahir dalam bidang teknologi untuk berdakwah supaya dakwah tidak dimanipulasi oleh orang yang salah. Sistem pendidikan yang bersifat integrasi antara ilmu naqli dan aqli seperti di USIM dan UIN SAIZU dapat melahirkan individu dan kumpulan yang berpendidikan asasi yang kuat serta berkebolehan dalam pengendalian sistem teknologi dengan semangat dakwah yang tinggi. Ini kerana masyarakat hari ini perlukan pendakwah yang berilmu dan kreatif, memahami keperluan umat, mempunyai karakter yang menarik, mencipta pembaharuan, kekal sabar dan membawa imej Islam dalam kehidupan media sosial dan peribadi dengan niat hanya lillahi ta’ala.

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=