e-Risalah USIM - Edisi Ogos 2022

OGOS 2022 16 | Dunia Media, Pengaruh Kepada Masyarakat Islam Dalam Penyampaian Dakwah: Realiti, Isu dan Cabaran Yang Kompleks Malaysia dan Indonesia dikenali sebagai negara umat Islam yang berpengaruh besar di Asia Tenggara bahkan dalam kalangan Negara Islam juga. Walaupun kandungan media Islamik banyak dihasilkan dari dua negara ini, akan tetapi mereka berdepan dengan pelbagai cabaran yang berkaitan dengan sistem dan kepenggunaan yang menghalang keberkesanan mesej dakwah. Antara isu utama yang dapat disimpulkan dari diskusi bersama mahasiswa adalah kebergantungan kepada sistem kapitalis, pengaruh dan kawalan kuasa parti politik pemerintah dalam saluran media utama dan gerakan dakwah, karakter figura agamawan yang mengelirukan, kepelbagaian ideologi yang mencabar kesucian Islam serta isu SARA (Suku Agama Ras dan Antara Golongan) yang saling menyebarkan kebencian dan mengakibatkan persoalan sosiokultural semakin rumit. Dunia komunikasi media yang bersifat bebas turut menjadikan dakwah bersifat bebas sehingga sesiapa sahaja boleh bercakap tentang Islam tanpa merujuk kepada sumber yang tepat. Kemunculan pendakwah yang tidak diketahui latar belakang ini dengan kemahiran seni media yang menarik telah memancing golongan milenia yang hanya menurut tanpa memeriksa. Maka golongan seperti ini telah menjual nama Islam atas nama dakwah dengan memanipulasi untuk mencari pengaruh dan kepentingan tertentu. Malah ada segelintir yang membawa idea-idea radikal, terorisma dan sesat. Hal ini terjadi mungkin juga kerana generasi baru sudah agak tidak berminat hendak berguru dan melalui proses sanad yang betul dalam disiplin pengajian kitab-kitab turah kerana sumber tersebut sudah banyak boleh diakses dan dibincangkan tanpa sempadan. Justeru mereka belajar tanpa guru lalu menyesatkan pula orang lain. Bahkan yang lebih parah apabila sebahagian asatizah yang menyalahgunakan saluran media untuk saling berdebat pada perkara yang bersifat furu’ tanpa mengikut adab. Ketegangan akibat isu khilafiyyah yang dibincangkan terlalu terbuka. Masyarakat awam yang tidak mahir dengan perbahasan ilmiah akan menjadi runsing, keliru dan menunjukkan sikap tidak minat pada Islam dan akhirnnya bermusuhan. Asatizah seperti ini telah membina pengikut yang ta’asub dan akhirnya menjadikan agenda penyatuan umat amat payah. Terdapat juga para pendakwah yang terlalu mengkomersialkan pendekatan dakwah di media sehingga mereka hilang karakter yang wara’ lalu mengikut arus dunia popular yang dilihat tidak kena sebagai seorang yang dikenali sebagai ‘ustaz’ mahupun ‘ustazah’. Penulis juga turut berkongsi berkenaan realiti ‘sajian’ media penyiaran di saluran televisyen utama Malaysia yang masih dengan tema yang sama seperti hubungan cinta tiga segi, perkahwinan kontrak, dan percintaan tanpa sengaja selepas nikah yang berlatarbelakangkan hubungan anak orang kaya pemilik syarikat ternama. Batasan syari’at dilanggar, seni bahasa yang tidak mengangkat budaya serta waktu tayangan juga tidak mengambil kira waktu solat dan sebagainya. Konsep pembinaan masyarakat bertamadun dari perspektif Islam kekal didasari dengan asas yang sama walau berlaku perubahan masa dan suasana dalam kehidupan manusia dari generasi ke generasi. Kemajuan teknologi telah menghasilkan inovasi dalam evolusi dan revolusi media komunikasi yang turut merubah budaya masyarakat dalam berinteraksi. Perubahan yang positif dapat dimanfaatkan dalam menyebarkan kebaikan dan sebaliknya perubahan yang negatif membentuk kemunduran tamadun kemanusiaan dan memerlukan usaha da’wah dalam konteks yang berbeza bagi menegakkan syiar Islam di muka bumi ini sebagai tugas yang digalas oleh setiap Muslim. Perkara inilah yang dibincangkan secara ilmiah dalam memaknai  memorendum persefahaman (MoU) antara Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, USIM bersama Universitas Islam Negeri Prof. K.H. Saifuddin Zuhri Purwokerto (UIN SAIZU), Indonesia. Perkongsian ini merupakan pengalaman penulis yang dilantik sebagai Sarjana Pelawat di UIN SAIZU yang berkolaborasi bersama Assoc. Prof. Dr. Nawawi M.Hum dari Program Studi Pascasarjana Komunikasi dan Penyiaran Islam bagi kursus Media, Budaya dan Masyarakat. Penulis mengupas perbincangan bersama mahasiswa dengan membawa perspektif dakwah sebagai titik utama perbahasan. Mahasiswa pula dibekalkan tugasan untuk berkongsi sudut pandang mereka berkenaan realiti, isu dan cabaran serta prospek da’wah di dunia media digital dengan menyoroti situasi di Malaysia dan Indonesia. Dr. Nik Suhaida Nik Abdul Majid Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan & Sarjana Pelawat di Universitas Islam Negeri Prof. K.H. Saifuddin Zuhri Purwokerto (UIN SAIZU) Interaksi Silang Budaya Antara USIM & UIN SAIZU

RkJQdWJsaXNoZXIy NzMyMDE=